Keluarga tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang didakwa anggota Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), mengadu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) minggu ini.
Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar memberitahu malaysiakini hari ini, anggota keluarga tahanan itu, sekurang-kurangnya lima ahli PAS, sedang menyiapkan aduan.
Dalam operasi sejak Khamis lalu, 10 orang ditangkap itu termasuklah anak Menteri Besar Kelantan, Nik Adli Nik Abdul Aziz, ahli jawatankuasa Pemuda PAS Johor Noor Ashid Sakip dan Ketua Pemuda PAS kawasan Larut, Perak Ahmad Tajuddin Abu Bakar.
Tujuh yang lain, Solehan Abdul Ghaffar, Alias Ngah (kedua-duanya ditangkap di Kuala Terengganu), Zainun Ismail (Baling, Kedah), Abu Bakar Che Doi (Kuala Muda, Kedah), Asfawani Abdullah (Kuala Ketil, Kedah), Ahmad Pozi Darman (Hulu Tiram, Johor) dan Mohd Lothfi Ariffin (Kupang, Kedah).
Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai, semasa mengumumkan penangkapan lapan anggota KMM Jumaat lepas, berkata polis sedang memantau lebih 50 anggota kumpulan itu dan tidak menolak kemungkinan untuk menahan mengikut akta yang sama.
Norian mendakwa tahanan-tahanan itu "pernah menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan."
Parti Keadilan Nasional bagaimanapun meragui dakwaan polis itu. "Sikap bersembunyi di belakang tabir ISA menimbulkan beberapa persoalan," kata Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata beberapa pemimpin parti itu, termasuk Naib Presiden Tian Chua dan Ketua Pemuda Mohamed Ezam Mohd Nor yang kini ditahan mengikut ISA selama dua tahun di kem Kamunting, juga pernah dituduh militan tetapi "polis serta kerajaan gagal membawa sebarang bukti."
Tian, Mohamad Ezam dan lapan yang lain ditangkap dalam operasi ISA sepanjang April. Enam ditahan lanjut di kem itu dan empat dibebaskan.
"Dengan mengecap tahanan (ISA kini) sebagai golongan militan yang terlibat dalam pembunuhan, apakah kerajaan cuba mengelakkan kritikan dan kecaman dari orang ramai, kerajaan asing terhadap kezaliman akta itu yang menimbulkan kemarahan rakyat?" kata Wan Azizah lagi.
"Penangkapan beberapa aktivis itu jelas memperlihatkan arah aliran politik yang merbahaya."
Akhbar-akhbar sejak Mei, dengan memetik sumber polis, mendakwa KMM pernah terbabit dengan beberapa kes jenayah termasuk rompakan bank, serangan balai polis serta tempat ibadat bukan Islam dan pembunuhan wakil rakyat dalam tempoh beberapa bulan lalu.
