malaysiakini logo
story-image
ADS

PRU14 | PAS Kelantan mengesahkan seorang penyandang Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan 'direhatkan' daripada mempertahankan kerusinya pada PRU ke-14.

Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Ahmad Yakob berkata, Mohd Zaki Ibrahim tidak akan dicalonkan lagi selepas tiga penggal menjadi wakil rakyat di DUN Kelaboran.

"Ini adalah keputusan PAS Pusat...Bukan digugurkan tapi direhatkan, ia untuk kebaikan beliau sendiri seabgai anggota PAS yang kita hormati.

"Keputusan dibuat oleh jemaah dan kita sebagai ahli hendaklah mematuhinya," katanya ketika ditemui media di rumahnya di Wakaf Bharu, Tumpat, hari ini.

Sejumlah 100 pengundi DUN Kelaboran pergi ke rumah Ahmad Yakob, yang juga menteri besar sementara, bagi menyerahkan memorandum agar Mohamad Zaki (gambar) kekal sebagai calon PAS di situ.

Wakil penyokongnya, Mohd Shafiee Abdullah berkata, memorandum menyenaraikan sebab mengapa Mohamad Zaki perlu dikekalkan.

"Kita senaraikan sembilan faktor kepada pesuruhjaya PAS. Selama tiga penggal, Mohamad Zaki benar-benar cakna rakyat dan tiada calon tempatan yang lebih layak," katanya.

Shafii yang juga pengerusi Pergerakan Prihatin Rakyat Kelaboran berkata mereka menghantar memorandum selepas khabar pengguguran Mohamad Zaki tersebar meluas di media sosial.

Pada PRU 2013, Mohamad Zaki menewaskan calon BN Wan Hanapi Wan Yaacob dengan kelebihan 2,103 undi.

Beliau sebelum ini dikatakan mesra dengan parti serpihan PAS, AMANAH. Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Lihat Komen