malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim cadangkan cara elak SPR hakis demokrasi
Diterbitkan:  Apr 13, 2018 5:09 PM
Dikemaskini: 9:18 AM
ADS

PRU14 |  Selepas menempelak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan ranggi Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini tampil memberi cadangan kepada badan itu.

Tujuannya, kata Tuan Ibrahim, supaya keupayaan SPR dapat ditingkatkan semasa mengendalikan daftar pemilih selaras dengan perkembangan teknologi hari ini.

Dalam satu kenyataan Tuan Ibrahim berkata SPR boleh memperkenalkan daftar bulanan - berbanding suku tahun ketika ini - jika sistem pendaftaran manual yang dilaksanakan sekarang mahu diteruskan.

Cadangan itu dipercayai dibuat sebagai langkah membuka jalan kepada lebih ramai orang dapat mengundi apabila sesuatu pilihan raya diadakan.

"Bayangkan mereka yang sudah mendaftar sejak empat bulan lamanya (tetapi) tidak dapat mengundi.

"Bukankah itu satu pembaziran, sedangkan kita menggalakkan semua yang berumur melebihi 21 tahun untuk mengundi.

"Bukankah itu menghakis demokrasi?" katanya.

Pada 10 April lalu SPR berkata PRU ke-14 ini akan dilaksanakan mengikut daftar pemilih sehingga suku keempat 2017 yang mengandungi 14,940,624 pengundi.

Keputusan itu bermakna sesiapa yang mendaftar pada 2018 tidak layak mengundi pada kali ini kerana ia belum dipamerkan untuk semakan dan bantahan, selain belum diwartakan.

Pada 10 April juga Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan tegas mengecam SPR kerana memilih hari bekerja sebagai tarikh mengundi bagi PRU ke-14.

Katanya tindakan SPR berkenaan boleh dianggap sebagai merompak hak rakyat negara ini untuk memilih kerajaan, selain membayangkan ketakutan BN menghadapi 'tsunami rakyat' yang mahu menolak mereka.

Hari Jumaat pun tak apa

"Walaupun kerajaaan boleh mengisytihar cuti umum pada hari berkenaan, ia bukan tindakan yang sepatutnya diambil kerana 9 Mei itu ada di pertengahan hari minggu.

"Bebanan kepada semua rakyat akan terus ada," katanya.

Untuk rekod SPR menetapkan 28 April sebagai hari penamaan calon dan 5 Mei pula untuk pengundi awal. Kedua-dua tarikh berkenaan jatuh pada Sabtu.

Selepas dikecam ramai Putrajaya akhirnya mengisytiharkan 9 Mei sebagai hari cuti umum.

Ketika kenyataan Tuan Ibrahim itu seiring dengan pandangan banyak pihak, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula meminta orang ramai menghormati hak SPR menentukan tarikh pilihan raya.

Katanya SPR ada hak untuk menetapkan hari pengundian pada bila-bila masa termasuk pada hari Rabu.

Apa yang penting kata penyandang kerusi parlimen Marang itu, rakyat mempunyai kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab memilih pemerintah, manakala jentera parti menggerakkan kesedaran penyokong supaya pulang mengundi.

"Jangan kata dia (SPR) buat begini, begitu. Kita tak mahu campur kerana itu hak dia.

"Dia nak adakan hari apa, kita tetap akan mengundi. Dia buat hari Jumaat sekalipun, bukan sepanjang masa kita solat Jumaat... boleh pergi mengundi," katanya.

Tuan Ibrahim berkata PAS memang menghormati hak SPR menggunakan senarai pemilih 2017 namun berpendapat badan terbabit itu boleh mengubah cara pengendalian mereka.

Lihat Komen