malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Izzah: SPR lantik badan pemerhati ada kaitan dengan PM
Diterbitkan:  Apr 13, 2018 3:00 PM
Dikemaskini: 7:56 AM
ADS

Penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mempersoalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik sebuah badan pemerhati yang didakwa tidak mempunyai pengalaman dalam memantau pilihan raya.

Nurul Izzah berkata, Malaysian Commonwealth Studies Centre (MCSC) turut mempunyai kaitan dengan sebuah badan yang dibiayai kerajaan Malaysia, Cambridge Malaysian Education Development Trust (CMEDT).

Malah katanya, perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak merupakan salah seorang ahli lembaga pemegang amanah dalam CMEDT.

"MCSC yang berpusat di Cambridge, United Kingdom terbukti tidak berkemahiran dalam pemantauan pilihan raya dan hanya bertindak sebagai penganjur persidangan tahunan demokrasi dan pilihan raya.

"Malah, salah satu ahli lembaga pemegang amanah CMEDT ialah PM Najib Abdul Razak. Turut menjadi persoalan, apakah kepentingan ahli jawatankuasa eksekutif MCSC yang juga merupakan ahli pemegang amanah bagi CMEDT?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memetik laporan Suruhanjaya Kebajikan U.K. menyatakan bahawa MCSC bekerjasama dengan CMEDT dan pernah menerima suntikan dana daripada kerajaan Malaysia sebelum ini.

"Bukankah ini satu lagi bukti bahawa adanya pihak berkepentingan dalam organisasi berkenaan, lalu bakal menjejaskan proses pilihan raya negara yang kian meruncing menjelang PRU14?," soalnya.

Justeru, naib presiden PKR itu mendesak supaya pengerusi SPR segera mendedahkan butiran sebenar mengenai MCSC.

"Tan Sri Mohd Hashim Abdullah wajib tampil menjawab secepat mungkin kerana isu ini membabitkan unsur penipuan, konflik kepentingan individu dan masa depan negara.

"Sebarang usaha untuk berdolak-dalik atau menolak soalan tentunya menampakkan ada perkara yang cuba disorok daripada pengetahuan rakyat Malaysia," katanya.

Jelasnya isu itu juga melibatkan soal ketelusan SPR dalam memastikan proses pilihan raya berjalan dengan sah dan bersih.

"SPR perlu memulangkan semula hak dan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya negara yang kian tenat di bawah kawalan Barisan Nasional," katanya.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi pihak SPR bagi mendapatkan maklum balas mereka.

 

Lihat Komen