malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Himpunan MARA: Rizal Mansor beri amaran pada DAP
Diterbitkan:  Apr 13, 2018 12:08 PM
Dikemaskini: 4:15 AM
ADS

Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (MUAFAKAT) memberi amaran agar DAP tidak mencampuri urusan warga MARA “kerana MARA adalah institusi untuk orang Melayu dan Bumiputera”.

“Mungkin DAP ini dah mula tunjuk pandai nak mencampuri urusan MARA setelah duduk bawah payung atuk (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dan mereka sudah berani serta tanpa segan silu menyibuk dengan hal-ehwal orang Melayu.

“DAP memang tak faham sebab kakitangan MARA dan warga pelajarnya dijemput menghadiri himpunan tersebut kerana mahu mempromosi dasar-dasar kerajaan dan MARA yang telah banyak melahirkan individu berjaya dalam pelbagai bidang,” kata presidennya Rizal Mansor.

Biro buruh DAP semalam menyelar langkah itu yang dianggap mereka menyimpang daripada matlamat dan fungsi sebenar MARA yang sepatutnya menumpukan kepada pembangunan Melayu.


Baca: DAP: Kenapa kerah warga MARA ke program PM?


Malah, kata naib pengerusinya, MARA tidak boleh dilihat cenderung kepada mana-mana pemimpin terutamanya parti politik di kala BN begitu terdesak untuk memenangi pilihan raya umum kali ini,”

Dalam kenyataannya di Facebook, Rizal mempertahankan kerahan itu dengan alasan menyatukan anak-anak MARA dan memberi ruang “menyatakan sokongan dan rasa terima kasih kepada kerajaan kerana telah banyak berjasa kepada anak-anak MARA.”

“Justeru, saya berpendapat cubaan biro buruh DAP untuk memberi persepsi negatif terhadap acara tersebut adalah berniat jahat dan mencerminkan sikap sebenar pembangkang yang hanya tahu mengadu-domba dan menghasut,” katanya.

Bernama semalam melaporkan himpunan “Saya Anak MARA” Ahad ini bakal memberi peluang kepada anak-anak yang menerima pendidikan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), untuk mengenali Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan lebih dekat

Berlangsung di hangar Kampus Subang Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL-MIAT) bermula 3 hingga 6 petang, himpunan itu dijangka dihadiri kira-kira 5,000 peserta.

Ia terbuka kepada semua anak-anak MARA termasuk warga MUAFAKAT, Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (Ansara), pendidik serta warga kerja MARA di samping ibu bapa pelajar tajaan.

MARA, sebuah agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, ditubuhkan pada 1 Mac 1966 dbawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada tahun sebelumnya.

Tujuan penubuhannya antara lain membangunkan usahawan berjaya dan inovatif, melahirkan modal insan global dan berintegriti, menyumbang kepada pemilikan ekuiti dan memudahkan sistem penyampaian.

Lihat Komen