malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Sebuah biola yang dimiliki Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dijual dengan harga RM35,000 pada konsert mengumpul dana yang diadakan di Putrajaya malam ini.

Biola itu dibida bermula pada harga RM3,000 sebelum dua individu saling membuat bidaan.

Seorang bekas perancang kewangan, Aziz Ibrahim yang memenangi lelongan itu, mula-mula membuat  bidaan sebanyak RM10,000.

Seorang lelaki kemudian menaikkan harga kepada hampir RM5,000 setiap kali bidaan, sebelum Aziz membuat bidaan akhir sebanyak RM35,000 dan mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai.

Terdahulu Siti Hasmah yang juga isteri pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad memainkan biola itu dan menyampaikan dua lagu - Por Una Cabeza dan Tanah Pusaka.

Ditemui selepas acara malam ini, Aziz memberitahu wartawan bahawa bidaan itu adalah sumbangan kecil yang diberikan untuk perjuangan Mahathir dan Siti Hasmah mengambil alih Putrajaya.

"Saya bangga dengannya, inilah yang saya boleh buat untuknya (Mahathir). Saya adalah produk yang dilahirkan beliau (pada zamannya).

"Ini adalah sumbangan kecil, setiap orang mesti sokong Mahathir," katanya.

Persembahan dan lelongan itu adalah sebahagian daripada konsert mengumpul dana di Yayasan Kepemimpinan Perdana yang bertajuk "Konsert Pencetus Perjuangan".

Selain Siti Hasmah, Mahathir juga menyampaikan puisi berjudul Pakatan Harapan pada majlis tersebut.

Bait-bait puisi yang disampaikan bekas perdana menteri itu adalah seperti berikut:

Tolonglah kami untuk menolong kamu
Kerana akhirnya, nikmat usaha ini adalah untuk semua
Kami untuk kamu
Kamu untuk kami
Untuk bangsa, agama, dan negara
Sokonglah Pakatan Harapan

Satu lagi puisi dibacakan pada penghujung majlis berjudul "Terima kasih Mahathir".

Persembahan lain termasuk lagu My Way yang dipopularkan Frank Sinatra dan diketahui sangat diminati Mahathir, serta persembahan string kuartet.

Penonton yang hadir pada malam ini turut didendangkan dengan lagu Gemilang yang dipopularkan oleh Ella, sambil mereka dilihat turut mengibarkan bendera Malaysia.

Seramai 80 tetamu menghadiri majlis kutipan dana pada malam ini dengan tiket dijual RM150 bagi setiap tempat duduk.

Lihat Komen