malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AirAsia: Tiada tiket percuma tapi harga boleh turun
Diterbitkan:  Apr 11, 2018 5:31 PM
Dikemaskini: 9:40 AM
ADS

AirAsia tidak dapat menyediakan penerbangan percuma pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tetapi syarikat penerbangan itu berusaha sebaik mungkin untuk menurunkan harga tiket.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes berkata demikian ketika berkongsi gambar bersama kakitangannya di Facebook.

"Memastikan mereka kekalkan tambang murah pada pilihan raya. Tidak boleh berikan percuma tetapi kami akan lakukan yang terbaik dan berusaha untuk membuat penerbangan tambahan," katanya dalam catatan Facebook.

Semalam, anggota parlimen sementara Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamad secara sinis mencadangkan AirAsia menawarkan penerbangan percuma selepas syarikat penerbangan itu mengumumkan pengecualian bayaran bagi perubahan tempahan untuk penerbangan domestik semasa tempoh pilihan raya.

Nur Jazlan sebelum ini menuduh syarikat penerbangan Cathay Pacific terlibat dalam rancangan menukar kerajaan apabila mengumumkan langkah yang sama.

Beberapa syarikat penerbangan turut mengikuti langkah tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan hari mengundi pada PRU14 akan diadakan pada 9 Mei.

Rakyat Malaysia kini mula mengatur jadual mereka untuk kembali ke kampung halaman bagi menunaikan kewajipan mereka.

Harga tiket untuk pelbagai jenis pengangkutan semasa tempoh pilihan raya umum telah meningkat disebabkan permintaan yang tinggi.

 

Lihat Komen