malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rabu hari mengundi - BERSIH kecam 'niat jahat' SPR
Diterbitkan:  Apr 10, 2018 3:02 PM
Dikemaskini: 7:27 AM
ADS

PRU14 I Badan pendesak pembaharuan pilihan raya BERSIH mengecam pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada Rabu, 9 Mei depan.

"BERSIH mengutuk sekeras-kerasnya pengumuman SPR hari ini mengenai tarikh penamaan calon dan hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-14," kata gabungan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selain hari mengundi yang dijadualkan berlangsung pada hari bekerja, BERSIH juga mempersoalkan tempoh berkempen yang hanya akan berlangsung selama 11 hari.

BERSIH berkata gabungan itu sebelum ini menuntut tempoh berkempen diadakan sekurang-kurangnya 21 hari bagi memberikan masa yang cukup kepada calon-calon dan parti bertanding untuk membentangkan manifesto mereka.

"Dengan anggaran lebih RM400 juta, SPR mempunyai lebih daripada dana yang mencukupi untuk menjadikan perkara ini realiti.

"Oleh itu SPR telah bertindak dengan niat jahat dan menentang kepentingan demokrasi.

"Rakyat berhak mendapat penjelasan penuh dari SPR tentang mengapa ia membuat keputusan regresif itu," jelasnya.

Selain hari mengundi, SPR hari ini turut mengumumkan hari penamaan calon jatuh pada 28 April manakala pengundian awal akan diadakan pada 5 Mei.

Sementara itu, BERSIH menggesa majikan memberikan kelepasan kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi seperti yang termaktub dalam Seksyen 25 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Adalah dikesali apabila kos ini kini dipaksa ke atas majikan.

"Mereka yang 'balik kampung' untuk mengundi akan jadi lebih sukar, terutama yang perlu kembali ke Sabah atau Sarawak dari semenanjung dan sebaliknya.

"Selain itu, ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi serta pemerhati sukarela juga perlu memohon cuti untuk membantu pilihan raya yang bersih dan adil," katanya.

Sementara itu, BERSIH juga menjangka keputusan SPR akan menyebabkan peratusan keluar mengundi akan lebih rendah.

"Untuk mengurangkan kesan ini, kami menggesa kerajaan persekutuan mengumumkan hari mengundi sebagai cuti umum dan bagi kerajaan negeri pula mengisytiharkan cuti umum pada hari sebelum atau selepas hari pengundian.

"Jika ini tidak dilakukan, semua majikan harus membenarkan dua hari cuti yang tidak direkodkan kepada semua pengundi," kata organisasi itu.

 

Lihat Komen