malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM wujud bilik gerakan tangani rasuah PRU14
ADS

PRU14 | Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan Bilik Gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa oleh calon dan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata bilik gerakan yang beroperasi 24 jam itu diadakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) untuk memastikan ketelusan dalam proses pilihan raya.

"Bilik Gerakan PRU terletak di Aras Tiga, Blok B, Ibu Pejabat SPRM. Maklumat dan aduan juga boleh disalurkan di pejabat SPRM negeri," katanya pada sidang media sempena pelancaran bilik gerakan itu di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
Dzulkifli berkata aduan juga boleh disalurkan melalui e-mel kepada [email protected] atau menghubungi talian 03-88700675/ 03-88700668 atau faks kepada 03-88700956.

Sogokan, jamuan, pengaruh tak wajar

Beliau berkata SPRM mempunyai bidang kuasa memantau dan menyiasat kes-kes rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya mengikut Seksyen 7 hingga 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

"Antara kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah seksyen itu adalah melakukan penyamaran, penyogokan, penjamuan dan menggunakan pengaruh tidak wajar sepanjang tempoh PRU14," katanya.

Jika ada maklumat yang tidak tertakluk di bawah bidang kuasa SPRM sepanjang PRU14, beliau berkata ia akan disalurkan kepada agensi berkaitan seperti SPR dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata sekiranya berlaku kegiatan dan salah laku rasuah, mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 5 yang memperuntuk hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.

"Malah, ia secara tidak langsung boleh mengakibatkan kekosongan kerusi seseorang calon dan pilihan raya kecil perlu diadakan," katanya sambil memberitahu bahawa mereka yang terlibat juga akan dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih selama lima tahun dari tempoh sabitan tersebut.

 

-Bernama

Lihat Komen