malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hisham kata Rafidah bohong
Diterbitkan:  Apr 9, 2018 4:23 PM
Dikemaskini: 8:31 AM
ADS

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein menolak dakwaan bekas menteri kabinet Tan Sri Rafidah Aziz semalam yang menuduh Datuk Seri Najib Razak menswastakan tanah milik Angkatan Tentera Malaysia sewaktu beliau menjawat portfolio kementerian pertahanan itu.

"Saya dengar apa yang Rafidah cakap semalam dan kenyataan itu adalah penuh dengan informasi yang tidak tepat dan dalam kes-kes tertentu adalah sebuah pembohongan.

"Tuduhan bahawa sebuah syarikat yang diuruskan oleh tiga individu yang memiliki setiap inci aset Kementerian Pertahanan (MINDEF) adalah sangat tidak tepat dan merupakan sebuah pembohongan," kata Hishammudin dalam suatu kenyataan hari ini.

Rafidah menulis surat terbuka yang mendakwa penswastaan tanah ATM seluas lebih 40,000 hektar, berdasarkan pajakan tanah selama 40 tahun dan diberikan tanpa tender terbuka kepada sebuah syarikat milik tiga individu.

Dalam surat terbuka itu, Rafidah juga meminta Najib mendedahkan nama syarikat itu dan tiga individu pemiliknya serta butiran lanjut penswastaan tanah berkenaan.

Bagaimanapun, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno itu menafikan dakwaan Rafidah.

"Dalam surat beliau, beliau mengatakan syarikat tiga individu ini dituduh membuat keputusan terhadap tanah ATM MINDEF adalah tidak tepat dan merupakan pembohongan," kata beliau.

Selain itu, beliau juga berkata tindakan Rafidah itu sebagai tidak bertanggungjawab, namun demikian beliau juga berkata akan menyiasat perkara tersebut.

"Saya percaya tindakan ini amatlah tidak bertanggungjawab daripada beliau.

Kerajaan akan siasat

"Selepas ini saya akan mendapatkan jawapan daipada MINDEF. Saya akan meminta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk menjawab dan saya telah dapatkan minit daripada kabinet untuk melihat pertuduhan beliau.

"Kita akan menyiasat secara keseluruhan pertuduhan ini," katanya.

Dalam warkah terbukanya itu, Rafidah turut meminta penjelasan Najib berhubung beberapa projek utama kerajaan jika ia melibatkan tanah tentera yang diswastakan itu.

"Rakyat perlu tahu semua fakta-fakta. Silalah dedahkan untuk pengetahuan awam," kata Rafidah.

Lihat Komen