malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB Johor bela TMJ
Diterbitkan:  Apr 9, 2018 3:20 PM
Dikemaskini: 8:16 AM
ADS

PRU14 | Menteri besar sementara Johor Datuk Seri Khaled Nordin mempertahankan kenyataan dibuat Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan menyatakan bahawa Tunku Mahkota Johor itu memberikan pandangan berdasarkan fakta.

Tambahnya, Tunku Ismail yang lebih dikenali sebagai TMJ mempunyai hak untuk menyatakan pendapatnya mengenai perkara yang memberi kesan kepada rakyat.

"Kita sepatutnya rasional dan sesiapa yang tidak bersetuju dengan pandangan TMJ tidak sepatutnya membalas dengan kasar," katanya yang dipetik The Star.

Khaled berkata demikian selepas melancarkan projek Taman Perindustrian Pengerang Eco RM15 bilion di Johor.

Beliau menambah, kenyataan yang dibuat Tunku Ismail merupakan pendapat peribadi dan orang ramai mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan mereka sendiri serta memilih kerajaan yang mereka mahukan.

Malaysiakini Sabtu lalu melaporkan kenyataan Tunku Ismail melalui akaun Facebook Johor Southern Tigers.

Kenyataan panjang itu menyentuh berkenaan isu politik walaupun tidak memetik sebarang nama secara khusus.

Kenyataan itu antara lain ditujukan kepada Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, sehari kemudian - selepas kenyataan itu mengundang pelbagai maklum balas ramai pihak - Tunku Ismail mengeluarkan kenyataan lain dengan menyarankan orang ramai "baca betul-betul dan fahamkan dahulu" kenyataan yang dibuatnya.

Beliau juga memberitahu bahawa tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Lihat Komen