malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DUN Perak, Selangor, T'ganu, bubar
Diterbitkan:  Apr 9, 2018 1:43 PM
Dikemaskini: 7:35 AM
ADS

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan pilihan raya umum (PRU) negeri itu diadakan.

Mohamed Azmin membuat pengumuman itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menandatangani watikah proklamasi pembubaran dalam satu istiadat ringkas di Istana Alam Shah di Klang, kira-kira 10.30 pagi tadi.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa Sabtu lepas (7 April) bagi membolehkan PRU ke-14 (PRU14) diadakan.

Mandat kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR tamat pada Jun 2018. Sesi persidangan DUN Selangor yang pertama adalah pada 21 Jun 2013, selepas PRU13.

Pada PRU13, Selangor yang mempunyai komposisi 56 kerusi DUN, dikuasai DAP dan PAS yang mana masing-masing memenangi 15 kerusi dan PKR (14) manakala Barisan Nasional (BN) mendapat 12 kerusi yang kesemuanya dimenangi calon Umno.

Kerusi PKR kemudian berkurang kepada 13 selepas penyandang kerusi DUN Pelabuhan Klang iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat daripada parti itu pada 2014 susulan ‘Langkah Kajang’ dan menjadi wakil rakyat Bebas.

‘Langkah Kajang’ juga menyaksikan Anggota Dewan Undangan negeri (ADUN) Kajang Lee Chin Cheh daripada PKR bertindak mengosongkan kerusi itu pada 2014 bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Anwar bagaimanapun hilang kelayakan bertanding apabila kalah dalam rayuan kes liwat membabitkan beliau dengan seorang bekas pembantu peribadinya, dan isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, akhirnya bertanding dan memenangi kerusi itu.

PAS kehilangan tiga kerusi DUN selepas ADUN Hulu Klang, Saari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin keluar parti pada 2015 dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman pula mengumumkan keluar daripada PAS dan menyertai PKR. Perkara itu disahkan dalam satu ceramah di Sungai Buloh malam tadi.

ADUN Banting (Teluk Datuk), Loh Chee Heng menjadi wakil rakyat Bebas pada 2016 selepas keanggotaannya dalam DAP ditamatkan atas dakwaan menyalahgunakan dana yang diperuntukkan bagi kawasan itu.

Sementara itu, kerusi DUN Sungai Air Tawar kosong selepas penyandangnya, Kamarol Zaki Abdul Malik daripada BN, meninggal dunia pada 17 Jan 2017 akibat serangan jantung.

Bagaimanapun, tiada pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian wakil rakyat itu.

Bagi 22 kawasan Parlimen di Selangor, BN menguasai lima kerusi iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang dan Kuala Selangor manakala 17 kerusi lagi masing-masing dimenangi PKR (sembilan), DAP (empat) dan PAS (empat).

PAS kehilangan tiga kerusi apabila Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad, Kota Raja (Siti Mariah Mahmud) serta Sepang (Mohamed Hanipa Maidin) keluar parti dan menyertai Amanah.

Pada 5 Mei 2016, penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar Tan Sri Noriah Kasnon daripada BN, meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak.

Kerusi Parlimen Sungai Besar itu kekal di tangan BN dalam pilihan raya kecil yang diadakan pada 18 Jun 2016, menerusi calonnya Budiman Mohd Zohdi, yang juga ADUN Sungai Panjang.

Di Pulau Pinang, Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini bertemu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara, untuk mendapatkan persetujuan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Kenderaan rasmi yang membawa ketua menteri tiba di kediaman Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang itu kira-kira 8.30 pagi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus.

Lim dijangka mengadakan sidang akhbar berhubung pembubaran DUN Pulau Pinang di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 1.45 tengah hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa Sabtu (7 April) bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan menasihatkan semua ketua kerajaan negeri, kecuali Sarawak, menghadap ketua negeri masing-masing bagi mendapat perkenan pembubaran DUN supaya pilihan raya dapat diselaras serentak di seluruh negara.

Tarikh akhir mandat DUN Pulau Pinang ialah pada 28 Jun.

Pulau Pinang diperintah pakatan rakyat sejak 2008 dan pada pilihan raya umum lepas DAP menang 19 daripada 40 kerusi DUN manakala PKR (10), PAS (satu) dan Barisan Nasional (10). Bagi kerusi Parlimen, DAP menguasai tujuh kerusi, PKR (tiga) dan BN (tiga).

Di Kuala Kangsar, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mengisytiharkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 Perak, berkuat kuasa hari ini, pada istiadat menzahirkan pengumuman pembubaran itu, di Istana Iskandariah.

Pada majlis itu, baginda menitahkan kesemua parti politik, terutama barisan pimpinan politik, perlu mencerminkan sifat bertanggungjawab pada setiap masa dengan mengutamakan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan perpaduan warga.

“Berlatarbelakangkan pengalaman 13 kali pilihan raya umum sebelum ini, warga wajib mempamerkan kebijaksanaan berpolitik dengan mengamalkan budaya demokrasi secara matang,” titah baginda.

Baginda menitahkan supaya isu agama, kaum, budaya dan bahasa tidak disensasikan dalam mendapatkan sokongan pengundi sehingga menjejaskan hubungan harmoni dan perpaduan.

“Pada setiap masa, wajib dipelihara dan wajib dipastikan, tidak diucap sebarang perkataan, dan tidak dilakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan di antara warga.

“Keselamatan negara dan ketenteraman awam terlalu berharga untuk dikorbankan disebabkan matlamat politik jangka pendek,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menitahkan agar tidak dipersulitkan tugas dan ditambah bebanan pasukan keselamatan dengan mencetuskan perkara yang boleh menjejas ketenteraman awam.

Baginda bertitah pihak penguatkuasaan undang-undang perlu mengambil tindakan tegas dan pantas terhadap sebarang perbuatan mana-mana pihak yang boleh menjejas ketenteraman awam.

“Integriti pihak penguatkuasaan undang-undang hendaklah dipelihara dengan mempamerkan amalan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang secara adil dan saksama, yang tidak memihak dan tidak mempamerkan sikap partisan kepada mana-mana kumpulan, dan berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara,” titah baginda.

Sultan Nazrin menyeru agar semua pihak dan setiap warga membantu memastikan proses pilihan raya berjalan aman dan tenteram dengan berteraskan semangat meluhurkan Perlembagaan, mendaulatkan undang-undang, serta kesopanan dan kesusilaan.

“Apa juga penentuan yang menjadi pilihan rakyat, berpeganglah kepada prinsip kepercayaan kepada Tuhan. Bahawa segala yang berlaku dan tidak berlaku, dan apa jua pencapaian atau tidak pencapaian rancangan, adalah di bawah penentuan Ilahi,” titah baginda.

Titah baginda, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu melaksanakan tugas secara profesional, telus dan berintegriti dalam memastikan kelangsungan pilihan raya tidak dipertikaikan.

“Pilihan raya adalah satu proses yang memberi hak dan peluang kepada warga yang wajib dihormati, dihargai dan tidak dinafikan untuk memilih kerajaan.

“Selaras dengan Perkara 113(1) Perlembagaan Persekutuan, penentuan tarikh mengadakan pilihan raya umum ke-14 terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya,” titah baginda.

Baginda bertitah semua pihak wajib memberikan kerjasama untuk membolehkan SPR melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebaik mungkin.

Di Kuala Terengganu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibubar hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata pembubaran DUN Terengganu itu telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin selepas beliau menghadap baginda di Istana Syarqiyyah, di sini kira-kira 10.17 pagi tadi.

“Dengan pembubaran ini ia memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka kehendaki,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di Wisma Darul Iman, di sini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa Sabtu dan meminta kerajaan negeri, kecuali Sarawak, turut membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan PRU14 dilakukan secara serentak.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan masing-masing empat disandang BN dan PAS. BN menang 17 daripada 32 kerusi DUN manakala PAS (14) dan PKR (satu).

Dalam ucapannya, Ahmad Razif mengucapkan terima kasih kepada rakyat negeri Terengganu kerana telah memberi kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negeri sepanjang tempoh lima tahun.

“Kerajaan BN telah melaksanakan dan memberikan yang terbaik untuk rakyat. Kuasa kini dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka inginkan.

“Bagi pihak BN kami berikrar bahawa sekiranya kami diberi mandat sekali lagi untuk menubuhkan kerajaan, kami akan pastikan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita nikmati selama ini dapat dikekalkan selaras dengan kerangka dan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang terkandung dalam Maqasid Syariah,” katanya.

Tambah beliau, BN akan menghadapi PRU14 ini dengan yakin berdasarkan pencapaiannya yang lalu.

Lihat Komen