malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saman Rahman terhadap Rafizi ditetapkan 17 Mei
ADS

Pengurusan kes untuk saman fitnah Pengarah Biro Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli ditetapkan pada 17 Mei ini.

Saman itu berkenaan dakwaan Rafizi terhadap Abdul Rahman mengenai penganjuran Ekspo Negaraku Disember lalu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan kedua-dua pihak menyenaraikan fakta yang dipersetujui dan tidak dipersetujui sebelum tarikh itu.

"Hakim meminta peguam (kedua-dua pihak) untuk duduk dan cuba senaraikan fakta yang dipersetujui," kata peguam Rafizi, William Leong.

Leong dan peguam Rahman, Datuk Reza Hassan bercakap dengan pemberita selepas pengurusan kes dengan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab pagi tadi.

Rahman memfailkan saman selepas Rafizi mendakwanya mengamalkan nepotisme dalam pemberian kontrak penganjuran Ekspo Negaraku bernilai RM37 juta.

Projek itu dianugerahkan kepada Pico Integrated Exhibit Sdn Bhd. Rafizi mendakwa ketua pegawai eksekutifnya Raslan Dahlan adalah abangnya.

Rahman menafikan dakwaan itu. Rafizi kemudian memadamkan posting di blognya yang mengandungi dakwaan itu dan meminta maaf kepada Raslan.

Penyandang kerusi parlimen Pandan itu bagaimanapun berkata masih ada persoalan tidak terjawab tentang program itu, seperti kos yang tinggi dan mengapa kontrak tidak dipaparkan dalam laman pemerolehan kerajaan.

Dalam saman yang difailkan pada 30 Januari lalu, Rahman menuntu ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan kos, serta permohonan maaf daripada Rafizi.
 

Lihat Komen