malaysiakini logo
story-image
ADS

PRU14 | Bagi penduduk Johor kedudukan institusi raja di negeri itu mempunyai tempat tersendiri dalam kehidupan seharian masing-masing.

Sejak beberapa tahun lalu pemerintah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan anaknya Tunku Ismail sering dipuji kerana sering bersuara untuk kepentingan rakyat.

Justeru apabila Tunku Ismail memberi pandangan mengenai PRU ke-14 melalui Facebook pada Sabtu lalu, sebahagian besar berpendapat ia memberi tamparan hebat kepada kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mahu mengetepikan Umno buat kali pertama dalam sejarah Johor.

Penyokong tegar Umno Abdullah Muhammad berkata cara pengundiannya akan dipengaruhi oleh kenyataan dari istana tersebut.

"Bangsa Johor memang akan akur kepada arahan TMJ (Tunku Mahkota Johor).

"Maknanya kalau TMJ atau sultan keluarkan kenyataan, orang Melayu kena akur," katanya pengawal keselamatan berusia 57 tahun itu.

Namun bagi Abdul Razak Abu Samad, 50, dia berasa serba salah antara kenyataan TMJ itu dengan keinginannya mahu melihat perubahan di Johor.

"Untuk masa depan warga Johor yang cantik, kita patuhlah sebab kalau sultan tak suka, Johor susah.

"Kita (bangsa Johor) memang rapat dengan keluarga diraja.

"Sekarang ni saya pun celaru nak ikut perubahan yang macam mana," katanya yang ditemui di Ayer Hitam.

Bagaimanapun kebanyakan orang yang ditemui Malaysiakini di Muar melihat PRU kali ini lebih daripada sekadar nasihat yang keluar dari pihak istana Johor.

Sulaiman Bustamam misalnya berpendapat kesukaran dihadapi akibat kenaikan kos sara hidup akan menentukan cara dia memilih kerajaan di kotak undi nanti.

Kata pembantu pejabat itu tiada sesiapa yang boleh memaksa seseorang pengundi membuat pilihan dan ia adalah terserah kepada diri sendiri.

"Kita bena berfikir secara rasional, logik dan melihat apa yang sudah kerajaan buat. Ada kemajuan atau tidak," katanya.

Pengundi kali pertama Wan Mohd Helmi Wan Ismail pula mahu melihat apa yang ditawarkan oleh parti yang bertanding melalui manifesto masing-masing.

Katanya rasa sayang orang ramai kepada keluarga diraja tidak akan mempengaruhi cara pengundian mereka.

"Pilihan raya ni untuk rakyat," kata pelajar berusia 22 tahun itu.

Rakannya Nadirah Zainal turut berkongsi pandangan sama. Katanya apa yang dinyatakan Tunku Ismail tidak memberi kesan kepada cara dia mengundi nanti.

Katanya pilihan dibuat berdasarkan kepada prestasi ditunjukkan pemimpin setempat.

Penyokong BN, Fauziah Yudin, 60, berkata dia akan mengundi untuk melihat keamanan terus berpanjangan di bawah kerajaan sedia ada.

"Kalau boleh saya nak undi biar damai saja, ikut yang lama," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen