malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kata batu pada Umno: Tak usah lebonglah
Diterbitkan:  Apr 4, 2018 10:06 PM
Dikemaskini: 2:18 PM
ADS

Kenyataan bahawa Putrajaya tidak mencampuri urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan langsung tidak boleh dipercayai, kata seorang veteran PAS.

Malah kata Subky Latif, kenyataan itu adalah salah satu contoh berita palsu yang ada kaitan dengan rang undang-undang yang diluluskan oleh parlimen beberapa hari lalu.

Menurut Subky, kenyataan itu tidak dapat diyakini sama sekali waima oleh seketul batu.

"Kalau batu yang kaku itu boleh berkata-kata, batu itu akan kata pada Umno: tak usah lebonglah (temberanglah)!" katanya.

Subky yang juga bekas pengarang akhbar menjelaskan Umno amat bodoh jika tidak memanfaatkan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diusulkan SPR itu.

Bertaring dalam kerajaan

Dakwanya SPR hanya tidak diperalatkan oleh Umno ialah semasa pilihan raya umum (PRU) pertama pada 1959.

"Semasa itu baru lepas merdeka dan Umno belum memperalatkan semua jentera kerajaan untuk kepentingannya.

"Ketika itu semua parti politik yang bertanding adalah wakil menentukan dasar dan hala tuju SPR," katanya.

Dalam tulisan kolum terbaru Subky itu, bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu juga berkata, selepas Umno "bertaring dalam kerajaan" SPR dijadikannya seperti seekor tikus yang sedang dibuli kucing.

Selepas itu kata Subky Umno menjadikan pembangkang pula seperti tikus yang lembik dikuasai kucing.

Katanya Umno menggunakan SPR - yang mempunyai kuasa menentukan sempadan baru kawasan pilihan raya selepas tempoh lapan tahun - sebagai alat strategi bagi menjamin kemenangan parti itu serta BN.

Cuma menurut Subky biasanya cubaan mereka untuk menyapu bersih kerusi pilihan raya tidak kesampaian atas beberapa faktor seperti pola etnik pengundi yang berbeza serta sentimen sesetengah orang Melayu seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Bukan ia tidak peralatkan SPR dan persempadan baru di situ, tetapi Allah sebutkan dalam al-Quran yang bermaksud, manusia merancang dan Allah juga merancang, (namun) Maha Perancang Allah yang menentukan sesuatu," katanya.

Taktik membuli pembangkang

Kemampuan PAS dan DAP menguasai Kelantan dan Pulau Pinang, kata Subky, kemudian dijadikan alasan untuk membuktikan SPR tidak menjadi alat Umno.

Namun katanya ia bukan alasan terbaik. Cuma kata Subky ketika Umno tidak boleh menipu semua orang pada semua masa, parti itu akan memperdayakan apa yang termampu.

"Jika ia tidak boleh tipu semua, jangan tak tipu semua (pula) kerana ada tempat yang tidak dapat ditipu.

"Tipu sebanyak mana yang boleh asal matlamat mengekalkan kuasa itu tercapai," katanya.

Akhir sekali tokoh yang berpengaruh dalam PAS itu menegaskan taktik membuli pembangkang memang langkah yang berkesan untuk Umno mengekalkan kuasa.

Malah katanya langkah itu jugalah yang pernah dilakukan dua pembangkang utama sekarang.

"Mahathir dan Anwar arif (apa yang) Najib buat itulah yang mereka (pernah) buat dulu," katanya merujuk kepada gabungan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini bekerjasama untuk mengetepikan Datuk Seri Najib Razak.

Lihat Komen