malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah AS tolak permohonan simpan Equanimity di Indonesia
Diterbitkan:  Apr 3, 2018 10:54 PM
Dikemaskini: 2:58 PM
ADS

Mahkamah daerah di California, Amerika Syarikat menolak permohonan ex parte oleh sebuah syarikat yang memiliki kapal mewah Equanimity bagi menyimpan kapal berkait 1MDB itu di Indonesia sementara menunggu untuk dijual.

Hakim Daerah Dale Fischer dalam penghakiman bertulisnya yang dilihat Malaysiakini berkata Equanimity (Cayman) Ltd 'tidak dapat menunjukkan terdapat apa-apa nilai boleh dipelihara dengan menjaga kapal mewah itu di Indonesia' yang bertentangan dengan kapal itu dipindahkan ke wilayah AS.

"Mahkamah melihat tidak ada alasan untuk memaksa AS untuk menjaga kapal di Indonesia dengan risiko beberapa peristiwa yang melemahkan rampasan aset yang sebelum ini diperintahkan oleh mahkamah ini," tulisnya dalam penghakiman yang difailkan pada 2 April lalu.

Sebelum ini, peguam bagi pihak pemilik dan pengendali The Equanimity memohon bagi kapal persiaran mewah itu di letakkan di Indonesia bersama-sama dengan anak kapal untuk menjaganya sepanjang penyiasatan berlangsung.

Pihak peguam itu tidak bersetuju dengan cubaan Jabatan Keadilan AS (DOJ) menjadikan kerajaan AS sebagai penjaga kapal tersebut.

Mereka memohon Perintah Kecemasan Ex parte yang menghalang kerajaan AS daripada sebarang tindakan yang akan 'menjejaskan nilai' kapal bernilai RM1 bilion itu.

Ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikenalpasti DOJ sebagai orang yang membeli kapal mewah dengan dana 'yang dicuri dan diselewengkan daripada 1MDB' sedang berusaha untuk membatalkan rampasan tersebut melalui empat buah syarikat.

Empat syarikat itu ialah Equanimity (Cayman) Ltd, Equanimity Crew (Cayman) Ltd, Equanimity Lifestyle (Cayman) Ltd dan Equanimity Operations and Maintenance (Cayman) Ltd.

Jho Low melalui jurucakap pada 28 Februari lalu dilaporkan kesal dengan rampasan asetnya kerana dibuat tanpa sebarang pembuktian.

Katanya, rampasan itu berdasarkan tuduhan salah serta bermotifkan politik.

Lihat Komen