Kartunis politikal Zunar @ Zulkiflee Anwarul Haque memberi masa 14 hari kepada polis Pulau Pinang untuk memulangkan 20 lukisannya yang dirampas atau akan mengambil tindakan undang-undang.
Menurut Zunar, lukisannya yang dipamerkan dalam sebuah pameran pada Oktober 2016 kesemuanya bernilai RM62,000.
"Sudah dua tahun dan mereka belum mendakwa saya selepas menahan saya dan mereman saya dua hari, jadi mereka perlu pulangkan karya saya," kata Zunar kepada wartawan di Malay Gallery di Chulia Street, Pulau Pinang.
Jelas Zunar, dia memberi masa 14 hari untuk polis menjawab surat tuntutannya dan memohon maaf kerana merampas lukisannya.
"Insiden ini menjejaskan kehidupan saya," katanya.
Pada 2016, pameran Zunar di Komtar diganggu Pemuda Umno Pulau Pinang yang dipimpin ketuanya Rafizal Abdul Rahim.
Rafizal mendakwa kartun Zunar menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pada 26 Nov 2016, Zunar ditahan dan direman dua hari namun tiada dakwaan dibuat polis ke atasnya meski lukisannya dirampas untuk siasatan.
Zunar ketika itu menyertai pameran di Komtar sebagai sebahagian daripada acara George Town Literary Festival in 2016.
Peguam Cecil Rajendra yang mewakili Zunar berkata lukisan itu dirampas "tanpa sebab atau alasan yang munasabah" dan polis menyerbu pamerannya tanpa mengikut lunas undang-undang..
"Akibat daripada tindakan polis itu, anak guam kami dirampas sumber pendapatannya dan reputasinya terjejas teruk.
"Meskipun sekarang sudah lebih 14 bulan sejak rampasan dan penahanan itu, polis masih belum memberi penjelasan atas tindakan mereka ataupun memulangkan karya Zunar," katanya.
[Baca berita penuh]