malaysiakini logo
story-image
ADS

Cadangan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk membatalkan projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambut sinikal oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Zahid, seluruh rakyat di negeri Pantai Timur akan menolak cadangan yang dilontarkan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

"Alhamdulillah tentu sekali dengan akujanji itu maka seluruh rakyat Pantai Timur akan tolak cadangan beliau.

"Saya secara peribadi ucap terima kasih atas cadangan itu dan tentulah Tun (Dr Mahathir) buat keputusan tepat untuk tolak sokongan rakyat di Pantai Timur terhadap partinya," katanya pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kuala Krai, Kelantan, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman dan barisan pimpinan Umno Kelantan.

Semalam, HARAPAN dilaporkan berhasrat menghentikan projek ECRL sekiranya menang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Dr Mahathir berkata projek ECRL yang membabitkan pembinaan laluan rel sejauh 688 kilometer merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan itu merupakan satu pembaziran dan tiada keperluan untuk membinanya.

Angin perubahan di Kelantan

Sementara itu, Zahid melontarkan keyakinan betapa angin perubahan sedang melanda Kelantan sekaligus membawa sokongan terhadap BN menjelang PRU14.

"Saya amat sanjung sambutan yang diberikan oleh penduduk Kuala Krai yang menjadi satu manifestasi bahawa gelombang baru telah sampai ke Kuala Krai kerana kita lihat gelombang ini akan memberikan angin kemenangan kepada BN.

"Ia bukan hanya terkait atas pembinaan beberapa projek terutama apabila tindakan pusat membantu mangsa banjir 2014 tetapi juga terbukti dengan pembinaan Hospital Kuala Krai dan infrastruktur lain.

"Bukan hanya merupakan faktor untuk berikan kemenangan pada hemat saya mahu terjemahkan rakyat Kelantan yang di bawah lembayung kekabutan yang tak kunjung padam. Cahaya baru di hujung terowong harus dicari," katanya.

Terdahulu beliau turut meluluskan peruntukan RM6.5 juta kepada Umno Bahagian Kuala Krai bagi membantu golongan pesakit kronik dan miskin, pembinaan surau dan jambatan di Kampung Temalir.

Bagaimanapun Zahid menegaskan, peruntukan itu akan diluluskan dengan syarat BN memenangi kerusi parlimen dan tiga dewan undangan negeri (DUN) iaitu Manik Urai, Dabong dan Guchil pada PRU14 nanti.

Lihat Komen