malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Fitnah kata saya akan jadi MB Johor dari DAP'
Diterbitkan:  Apr 3, 2018 9:28 AM
Dikemaskini: 2:31 AM
ADS

PRU14 I Calon DAP di DUN Paloh, Sheikh Omar Ali menafikan dakwaan bahawa beliau akan dilantik sebagai menteri besar Johor dari DAP sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Fitnah yang saya maksudkan ialah daripada individu berijazah PhD, kononnya saya sebagai calon tunggal Melayu (setakat ini) bagi pihak DAP, dikatakan akan menjadi menteri besar jika Pakatan Harapan memenangi Johor," katanya dalam satu kenyataan.

Sheikh Omar berkata, dakwaan tersebut diterbitkan di portal milik PAS, harakahdaily.net dan turut disebarkan menerusi FB Muafakat Johor dengan tambahan grafik yang bersifat provokatif.

Menurutnya, individu berkenaan mungkin menyangka orang Melayu adalah bangsa yang "bodoh dan boleh dipermainkan".

"Mungkin dia lupa bagaimana satu Malaysia telah memerhatikan perangai buruk beliau yang kononnya hendak 'tunjuk pandai' namun panik di hadapan Tun Dr Mahathir sewaktu wacana Sinar Harian baru-baru ini.

"Sayangnya dia masih tidak sedar diri. Mungkin kerana dia terpaksa puaskan hati tuannya. Biarlah. Rakyat Malaysia, bangsa Melayu, bangsa Johor tahu apa yang baik dan buruk," katanya.

Harakahdaily.net pada 31 Mac lalu menerbitkan artikel pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarulzaman Yusoff bertajuk 'Sheikh Omar Calon MB Johor?".

Antara lain Kamarulzaman memetik wawancara Malaysiakini dengan Pengerusi HARAPAN Perak, Ahmad Faizal Azumu, yang meminta DAP supaya tidak meletakkan calon Melayu di mana-mana kerusi DUN Perak.

Menurut Kamarulzaman, masalah yang dibangkitkan Ahmad Faizal tidak terhad kepada Perak sahaja, malah negeri-negeri lain seperti Johor juga yang menyaksikan DAP muncul "pemenang terbesar" apabila menguasai 13 kerusi DUN pada PRU 13.

"Jika dilihat kepada senarai nama kesemua 13 calon DUN DAP di Johor yang kesemuanya mencapai kemenangan dalam PRU 13, maka akan didapati bahawa kesemuanya adalah bukan Melayu bukan Islam, dan tidak ada seorang pun adalah Melayu Islam.

"Sekali gus isyarat yang dihantar kepada pengundi Melayu Johor, seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi HARAPAN Perak, ialah bahawa DAP mahu ketuai kerajaan negeri di Johor, dengan persepsi bahawa Sheikh Omar Ali adalah calon Menteri Besar Johor dari DAP," tulis pensyarah berkenaan.

Sheikh Omar bagaimanapun berkata terdapat ramai calon berwibawa yang lebih senior daripada beliau untuk dinamakan sebagai menteri besar sekiranya HARAPAN menang di Johor.

"Pakatan Harapan mempunyai pemimpin-pemimpin Melayu seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Salahuddin Ayub, Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh, Aminolhuda Hassan, Hassan Karim dan ramai lagi.

"Mereka ini pastilah jauh lebih layak untuk menjadi MB Johor. Siapalah saya untuk dibandingkan dengan mereka.

"Cerita DAP hendak jadi MB ini hanya taktik lapuk dan basi untuk menakut-nakutkan orang Melayu," katanya.

Lihat Komen