malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rizal: Dengar cerita HARAPAN guna logo PKR
Diterbitkan:  Apr 2, 2018 9:57 PM
Dikemaskini: Apr 3, 2018 8:26 AM
ADS

Pembantu khas isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor mendakwa parti-parti gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti.

"Dengar cerita semua parti dalam gabungan parti politik haram bernama Pakatan Harapan akan pakai logo PKR untuk tunjuk kesepakatan menjelang PRU14.

"BERSATU kena bersetuju pakai logo PKR sebab parti itu tak diiktiraf sebagai parti politik yang sah di mata ROS manakala logo PAN pula takut-takut tak siapa pun yang kenal," kata Rizal dalam suatu hantaran di Facebook malam ini.

Beliau turut mempersoalkan jika DAP juga akan memakai logo PKR dalam PRU14.

"Kalau ikut undang-undang, CEC DAP sudah diiktiraf sebagai sah oleh ROS dan parti cauvinis itu boleh bertanding pada PRU14 dengan logo Roket.

"Kalau saya jadi DAP, tak mungkin saya akan pakai logo PKR terutama apabila mengenangkan apa yang berlaku pada pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 2016," kata beliau.

Rizal juga menasihati DAP agar berkati-hati dengan PKR.

"Dengan rundingan agihan kerusi antara pembangkang di Selangor yang tak kesudahan itu akibat keegoan Datuk Seri Azmin Ali, saya mahu nasihatkan DAP agar berhati-hati dengan PKR ini terutama dalam soal surat watikah pencalonan," katanya.

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) di Parlimen pada 13 mac 2018 lalu, masih belum memutuskan logo tunggal yang bakal digunakan semua calonnya pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Tiada kata putus ROS

Ia selepas tempoh seminggu yang ditetapkan bagi HARAPAN menentukan perkara itu, seperti yang dinyatakan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad pada 6 Mac lalu

Mahathir memberitahu HARAPAN sudah bersedia untuk bertanding di bawah satu lambang ketika Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih membisu mengenai status gabungan berkenaan.

Pada 30 Jan lalu Dr Mahathir berkata ROS masih tidak memberikan sebarang kata putus mengenai status pendaftaran HARAPAN dan mendakwa ia disengajakan untuk mengganggu persediaan gabungan terbabit menghadapi PRU14.

Lihat Komen