malaysiakini logo
story-image
ADS

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) kawasan Pasir Puteh, Mohd Sabri Salleh menggesa PAS menyiasat audio yang dikatakan mirip suara anggota Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, penafian dibuat anak kepada bekas mursyidul am PAS itu tidak cukup untuk memberi keyakinan bahawa suara itu bukan miliknya.

Sebagai seorang sepupu, katanya, beliau mendakwa sangat mengenali suara anggota jawatankuasa PAS pusat itu.

"Saya yakin itu suara dia, berdasarkan lenggok bahasa, pelat, cara dia ucap satu-satu perkataan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Sebelum ini, isu rakaman audio yang didakwa melibatkan pertemuan antara Nik Abduh dan seorang pemimpin muda PAS tersebar secara bersiri di media sosial sejak Februari lalu.

Bagaimanapun rakaman keseluruhan audio itu hanya didedahkan di Facebook sebulan kemudian.

Individu dalam rakaman itu mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanannya.

Lebih mengejutkan, individu itu juga mengaku mempunyai hubungan dengan ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA).

"Ana (saya) boleh bercakap dengan CIA. CIA Amerika tu ana kenal orang dia yang sentiasa berhubung dengan ana," katanya dalam rakaman tersebut.

Nik Abduh telah membuat penafian dan menyifatkan tuduhan itu sebagai "karut, mengarut dan fitnah" terhadap dirinya serta PAS.

PAS sebelum ini melalui naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abddullah turut menegaskan tiada keperluan untuk menyiasat perkara itu dan cukup dengan penafian Nik Abduh.

'Perang dingin Nik Abduh'

Sementara itu Mohd Sabri mendakwa, sebelum munculnya audio tersebut sudah berlaku perang dingin antara pihak Nik Abduh dan pemimpin itu.

"Apa yang menguatkan lagi dakwaan mengenai audio itu adalah perang dingin yang sudah pun wujud antara kedua-dua pihak yang terlibat sebelum ini.

"Ia adalah asas benda (perkara) ini, boleh jadi sokongan audio Nik Abduh," jelasnya yang juga adik kepada Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh.

Tambah Mohd Sabri, tindakan PAS enggan menyiasat kesahihan audio itu sudah dijangka kerana kepimpinannya kini bukan lagi seperti dahulu.

"Sebabnya pimpinan sudah maklum mengenai perkara yang dibangkitkan itu.

"Kalau dalam kepimpinan PAS dahulu, saya yakin perkara ini akan disiasat. Jadi saya harap PAS sekarang telus," katanya yang mendakwa memilih untuk bersama AMANAH selepas melihat PAS tersimpang daripada perjuangan asal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen