malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis: Siasatan kehilangan Amri tak tumpu kumpulan anti-Syiah
ADS

INKUIRI SUHAKAM l Penyiasatan polis terhadap kehilangan aktivis Perlis Hope, Amri Che Mat, tidak bertumpu kepada kemungkinan penglibatan individu atau kumpulan anti-Syiah dalam penculikannya.

Pegawai penyiasat utama kes itu Inspektor Khor Yu Syuen berkata demikian dalam inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berhubung kehilangannya, hari ini.

"Saya tak ada maklumat, jadi saya tak buat apa-apa (tentang kemungkinan itu)," katanya.

Beliau menjawab soalan daripada peguam keluarga Amri, Razlan Hadri.

"saya mengambil kenyatan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Perlis agar lebih memahami ajaran Syiah," katanya.

Beliau ditanya jika beliau sedar terdapat kumpulan atau individu anti-Syiah yang mungkin mempunyai motif untuk mengancam Amri dan sama ada beliau mengambil keterangan daripada pihak tersebut.

Terdahulu, Khor setuju dengan beberapa cadangan Razlan bahawa dakwaan kecenderungan Syiah Amri tidak boleh diketepikan sebagai motif di sebalik kehilangannya.

Khor juga setuju bahawa beliau menimbang kemungkinan kumpulan anti-Syiah menjadi dalang kehilangannya.

Katanya, isu kecenderungan Syiah itu pertama kali dibangkitkan dalam mesyuarat khas di Balai Polis Kangar pada 27 November 2016, dua hari selepas Amri dikatakan diculik.

Katanya lagi, beliau juga menimbang kemungkinan Amri sendiri yang menghilangkan diri kerana menjadi sasaran individu atau kumpulan ekoran perkara itu.

"Ada kecenderungan (kerana) pegangan Syiah itu, mungkin dia sendiri mau menghilangkan diri," katanya.

Katanya lagi, antara sisi yang diambil kira sepanjang siasatan termasuk penglibatan Amri dalam urus niaga tukaran mata wang asing (forex) dan NGO Perlis Hope.

Dalam testimoni kepada panel inkuiri, Khor berkata beliau ditugaskan menyiasat kehilangan Amri pada 25 November 2016, selepas isteri Amri, Norhayati Ariffin membuat laporan polis.

Beliau berkata kes itu turut dipantau Bukit Aman sejak Februari tahun lalu kerana dianggap sebagai "kes panas" ekoran dakwaan fahaman Syiah Amri.

Sebelum ini, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul abidin menyifatkan Amri sebagai "aktivis Syiah". Mohd Asri menjadi saksi pertama inkuiri ini.

Di Malaysia, fahaman Syiah dianggap sebagai menyimpang daripada ajaran Islam dan pengamalan dan penyebarannya dilarang.

Inkuiri Suhakam ini turut menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Hilmy serta menentukan sama ada kes-kes ini kehilangan secara paksa sebagaimana yang ditakrifkan oleh International Convention for Protection of all Persons from Enforced Disappearances (ICPPED).

Ia mentakrifkan kehilangan secara paksa sebagai penangkapan, penahanan, penculikan atau bentuk-bentuk lain perampasan kebebasan oleh ejen-ejen kerajaan atau oleh orang perseorangan, atau kumpulan-kumpulan orang perseorangan, bertindak dengan kelulusan, sokongan atau persetujuan kerajaan.

Konvensyen ini diterima oleh Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2006 tetapi Malaysia bukanlah pihak dalam konvensyen tersebut.
 

Lihat Komen