malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas pengerusi DAP Johor tolak bertanding di Labis
ADS

PRU14 I DAP Johor ada kemungkinan menghadapi konflik dalaman selepas timbul perselisihan pendapat mengenai siapa yang seharusnya menentang naib presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong di kerusi Parlimen Labis.

Beberapa sumber DAP memberitahu Malaysiakini bahawa pucuk pimpinan parti itu menawarkan kerusi itu kepada bekas pengerusi Johor, Dr Boo Cheng Hau, sebagai pertukaran untuknya meninggalkan kerusi DUN Skudai yang dipegangnya selama dua penggal.

Sekiranya Boo menerima tawaran itu, diketahui bahawa ADUN Mengkibol Tan Hong Pin akan mengambil alih tempatnya di Skudai.

Sebaliknya, kerusi DUN Mengkibol akan diberikan kepada muka baru, Johnson Chew Chong Sin.

Rancangan itu, bagaimanapun mungkin menyebabkan parti itu berantakan apabila Boo enggan berpindah ke Labis dan bertegas untuk mempertahankan Skudai.

Apabila ditanya, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mengesahkan kepimpinan pusat parti telah menawarkan kerusi Labis kepada Boo.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada Boo akan dibenarkan kekal di Skudai setelah enggan berpindah kerusi ke parlimen.

'Tak layak bertanding di sana'

Boo, sementara itu memberitahu Malaysiakini yang beliau tidak menerima sebarang "tawaran rasmi" bertanding di Labis dan menganggap beliau tidak layak di kerusi itu.

"Selain Skudai, saya tidak berhasrat bertanding di kawasan lain untuk elak penduduk rasa mereka diabaikan.

"Saya beritahu penduduk yang saya akan terus melayani mereka kerana mereka mengundi saya di DUN. Saya akan lakukan khidmat terbaik.

"Saya tidak berharap untuk pergi Labis dan saya tidak menerima sebarang tawaran rasmi.

Menurut Boo, beliau tewas dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat DAP tahun lepas dan bukan anggota jawatankuasa negeri.

Katanya, beliau kini hanya seorang angota biasa dan anggota jawatankuasa cawangan.

"Ia akan jadi satu jenaka jika saya mencabar Chua begini. Saya percaya pimpinan parti harus menghantar pemimpin yang lebih layak menentang Chua," katanya ketika dihubungi.

Pada pilihan raya umum lalu, beliau berjaya meningkatkan majoriti kepada 18,050 undi.

Guru lawan murid?

Sementara itu, seorang penyokong Boo mengkritik kepimpinan parti pusat kerana mahu meletakkan Tan menggantikannya di kerusi Skudai.

"Mengapa kamu hantar Tan datang ke Skudai? Bukankah ini namanya murid melawan cikgu, yang oleh itu akan memecahkan parti?" kata penyokong berkenaan kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun disebabkan Boo enggan meninggalkan Skudai, Tan (gambar) mahu kekal di Mengkibol, iaitu kawasan parlimen Kluang yang disandang Liew.

"Saya ada peraturan tidak Bertulis dengan Liew. Salah seorang daripada kami akan kekal di Kluang. Saya telah jaga Mengkibol selama lima tahun dan malah berpindah ke sini. Saya telah membina perhubungan yang erat di Kluang dan dapat rasakan sokongan di sana.

"Kehadiran saya di Mengkibol akan membantu parti mengukuhkan Kluang. Tanpa menghiraukan sama ada mana-mana calon baru atau pemimpin luar diturunkan di sini, saya boleh memainkan peranan (dalam memastikan kemenangan)," katanya.

Tan memenangi Mengkibol dengan majoriti 10,001 undi pada 2013, manakala Liew  menang di kerusi Kluang dengan majoriti 7,359 undi.

Liew bagaimanapun akan berpindah ke kerusi parlimen Ayer Hitam menentang timbalan presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.

'Hubungan rumit'

Boo, Tan dan Liew memiliki hubungan yang rumit. Tan menyertai DAP pada tahun 2004 dan berkhidmat sebagai pembantu Boo selama bertahun-tahun.

Hubungan keduanya-dua dilihat sebagai guru dan murid, tetapi berubah selepas PRU13.

Ketika pemilihan DAP Johor pada 2014, Liew bertanding menentang Boo dalam kepimpinan negeri. Tetapi di sebalik mempertahannya 'gurunya', Tan menjadi salah seorang 'jeneral' bagi Liew.

Disebabkan Boo enggan berpindah ke Labis, difahamkan pucuk pimpinan DAP sedang mempertimbangkan untuk meletakkan ADUN Senai, Wong Shu Qi (gambar) di kerusi parlimen berkenaan.

Walaupun ada spekulasi Wong akan mempertahankan Kluang, beliau dalam wawancara dengan Oriental Daily berkata parti itu sedang memikirkan untuk meletak beliau bertanding di Labis.

Beliau dilaporkan berkata tidak akan menolak tawaran itu.

Labis adalah kerusi campuran yang memiliki 44.96 peratus Cina, 37.98 peratus Melayu dan 14.66 peratus pengundi India, mengikut senarai daftar pemilih terbaru.

Lihat Komen