malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Nur Jazlan mahu periksa ketulenan 'kenyataan' Anwar
Diterbitkan:  Mar 31, 2018 10:27 PM
Dikemaskini: 2:39 PM
ADS

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Nur Jazlan Mohamad merancang untuk memeriksa ketulenan kenyataan dari penjara yang dibuat bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hal ini selepas Anwar mengeluarkan kenyataan berikrar membebaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan memansuhkan undang-undang anti berita tidak benar jika ia digubal.

"Saya ingin tahu. Benarkan kenyataan ini datang daripada Anwar? Di bawah peraturan penjara, beliau dilarang berkomunikasi dengan dunia luar tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Penjara," ciap Nur Jazlan di Twitter.

Beliau berkata akan memeriksa perkara ini dengan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Supri Hashim.

"Saya tidak fikir kenyataan itu daripada Anwar," beritahu Nur Jazlan ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada Januari 2018, Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata tempoh pemenjaraan Anwar boleh terjejas jika beliau didapati menyebarkan kenyataan tanpa kebenaran melalui pihak ketiga.

Anwar dijangka bebas kerana kelakuan baik pada 8 Jun 2018 ini.

Pasukan media HARAPAN sering kali mengedarkan kenyataan atas nama Anwar.

Pasukan media HARAPAN sering kali mengedarkan kenyataan atas nama Anwar.

Pada Ogos tahun lalu, ketua pengarah Jabatan Penjara itu menafikan Anwar membuat satu kenyataan berhubung kejadian ketika forum Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam.

Supri berkata Anwar yang menjalani hukuman penjara lima tahun dibawa ke bangunan mahkamah di Kuala Lumpur untuk hadir prosiding sivil pada hari kenyataan tersebut dikeluarkan.

"Bila di mahkamah, Anwar berada di bawah pengawasan ketat pegawai penjara. Sesiapa yang tidak berkenaan dengan prosiding mahkamah tidak akan dibenarkan bertemu beliau, termasuklah media," kata beliau.

Sekali-sekala, semasa kehadirannya di mahkamah, Anwar akan menjawab soalan daripada pihak media jika pemberita dapat sempat bertanya kepadanya, sebelum pengawal penjara akan membawa beliau pergi dengan cepat.

Lihat Komen