malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Sempadan semula SPR lebar jurang pemisahan kaum'
Diterbitkan:  Mar 31, 2018 6:08 PM
Dikemaskini: 10:13 AM
ADS

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menggelarkan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai 'dasar aparteid pilihan raya'.

"Apa yang telah dibuat SPR ini bukan setakat membantu BN menang dalam pilihan raya akan datang tetapi turut menggunakan formula berbahaya bagi melebarkan jurang pemisahan antara kaum di kalangan rakyat Malaysia.

"Dengan mengumpulkan kawasan-kawasan pilihan raya mengikut kaum dan bukan kerusi campuran, SPR telah menggunakan formula perkauman BN yang mana para pengundi mengenal pasti diri mereka (dengan identiti perkauman) sebagai orang Melayu dahulu, orang Cina dahulu, orang India dahulu, Iban dahulu atau Kadazan dahulu.

"Ia tidak menjadi yang sepatutnya iaitu yang pertama identiti ialah sebagai rakyat Malaysia dahulu," kata Lim dalam mesej perayaan Easter hujung minggu ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah (gambar) dalam wawancara dengan New Straits Times pada Khamis lalu berkata syor persempadanan semula mencipta sempadan kawasan pilihan raya yang sesuai dengan pengenalan mengikut kaum kerana untuk menjaga kepentingan bersama kumpulan-kumpulan etnik itu.

Selain memecah-belahkan antara kaum, Guan Eng mendakwa persempadan semula SPR juga melanggar prinsip 'satu orang satu undi' kerana penyokong pembangkang dikumpulkan ke dalam satu kawasan pilihan raya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP itu optimis dengan pilihan raya akan datang.

"DAP yakin rakyat Malaysia akan menang dengan bersatu padu melawan pihak yang mahu memecah-belahkan kita, pihak yang mahu membina tembok dan menakut-nakutkan kita untuk saling membenci antara satu dengan lain, bukan hendak mengajak saling sayang menyayangi antara satu sama lain," kata beliau.

Lihat Komen