malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peneroka Ijok beri keterangan kepada SPRM
ADS

Seramai 21 peneroka tanah di mukim Ijok hari ini memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penjualan tanah seluas kira-kira 880 hektar di kawasan itu pada harga RM1.18 bilion kepada pemaju swasta.

Wakil mereka, Mohd Fadzil Ibrahim berkata kesemua peneroka itu memberi keterangan selama tiga jam bermula 3.30 petang tadi di sebuah hotel di sini, selepas menghadiri taklimat dan penerangan berhubung kes berkenaan.

"Keterangan itu diambil bagi membantu siasatan kes tanah Ijok tersebut dan peneroka telah memberi kerjasama yang baik dengan memberi segala maklumat yang diperlukan kepada SPRM.

"Kita berharap SPRM dapat melakukan siasatan dengan telus supaya kemelut isu tanah peneroka dapat dirungkaikan dan diselesaikan segera," katanya kepada pemberita di Kuala Selangor hari ini.

Difahamkan, seramai 20 peneroka lagi dijangka hadir memberi keterangan kepada pegawai SPRM di hotel yang sama pada 9 pagi esok.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menahan enam individu termasuk dua yang bergelar Datuk bagi membantu siasatan isu penjualan tanah milik kerajaan Selangor di Mukim Ijok pada 20 Mac lalu.

Bagaimanapun, empat lelaki termasuk seorang bergelar Datuk dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini dengan ikat jamin RM25,000 oleh dua penjamin.

- Bernama

Lihat Komen