malaysiakini logo
story-image
ADS

PARLIMEN | Anggota parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) cuba menghalang laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibentangkan di Dewan Rakyat pagi tadi.

Mereka menggunakan larangan dibuat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung perbahasan mengenai 1MDB sebelum ini bagi memberi justifikasi kepada pembentangan dan perbahasan mengenai laporan disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan.

Sebelum ini speaker Dewan Rakyat itu melarang isu 1MDB diperkatakan di Dewan Rakyat kerana ia membabitkan mahkamah dan bersifat subjudis.

Sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bangun untuk membentangkan usul mengenai persempadanan semula itu, Charles Santiago (DAP-Klang) bangkit untuk meminta supaya satu lagi usul dikemukakan.

Usul Charles itu - yang kemudian ditolak Pandikar - adalah mencadangkan supaya laporan persempadanan semula SPR itu ditarik balik.

Hanipa Maidan (AMANAH-Sepang) turut bangkit untuk bertanya mengenai soalan yang dikemukannya sebelum itu ditolak.

Pertanyaan Hanipa ialah mengapa laporan persempadanan smeula itu - yang sedang dicabar di mahkama - boleh dibentangkan walaupun Pandikar sebelum ini melarang anggota parlimen membahaskan isu 1MDB.

Pandikar kemudian menegaskan beliau sudah membuat keputusan mengenainya dan mengingatkan sebarang gangguan daripada anggota parlimen boleh menyebabkan mereka diusir dari Dewan Rakyat.

Tak perlu jelaskan

Sekali lagi Charles bangkit dan menegaskan, perbahasan mengenai persempadanan semula itu bersifat subjudis - sama seperti isu 1MDB yang ditafsir Pandikar.

Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) menyertai bantahan berkenaan dengan mendesak Pandikar membuat pertimbangan sama dalam kedua-dua isu berkenaan kerana ia membabitkan mahkamah.

"Ia tak adil. Keputusan speaker mestilah sama dalam semua isu," katanya.

Pandikar kemudian menjelaskan perintah tetap Dewan Rakyat mengenai subjudis tidak terpakai pada laporan persempadanan semula berkenaan.

Memetik Perlembagaan Persekutuan bekas senator dan menteri itu berkata menjadi mandatori buat seorang perdana menteri membentangkan laporan persempadanan semula itu sebaik saja menerimanya.

Tidak puas dengan penjelasan Pandikar anggota parlimen HARAPAN terus mencelah untuk membantah keputusan speaker, manakala wakil BN pula turut serta dalam pertikaian itu menyebabkan keadaan menjadi hingar-bingar.

Pandikar bagaimanapun enggan berganjak dan menegaskan keputusan yang dibuatnya adalah muktamad.

"Saya tidak perlu memberikan penjelasan. Setiausaha, teruskan. Sesiapa yang mengganggu, saya akan gunakan kuasa saya (untuk mengusir mereka)," katanya.

Laporan itu kemudian dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Razak kira-kira jam 12.30 tengah hari.

[Baca berita asal]

Lihat Komen