malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Serangan Dr M untuk gugat kepimpinan Najib'
ADS

Setiausaha Akhbar kepada perdana menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa terdapat beberapa serangan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengganggu-gugat kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tengku Sariffuddin yang menyambung keterangannya hari ini berkata pemimpin pembangkang itu menggunakan beberapa isu termasuk isu bantuan kewangan kepada Proton, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga kekalahan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir untuk jawatan Naib Presiden Umno pada 2013, bagi menyerang perdana menteri.

“Usaha itu (serangan) juga dilakukan selepas hubungan politik antara Dr Mahathir, yang juga bekas perdana menteri dengan perdana menteri menjadi keruh yang menyebabkan pergaduhan politik,” katanya.

Tengku Sariffuddin berkata demikian semasa pemeriksaan balas peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Mukhriz dalam perbicaraan saman difailkan bekas Menteri Besar Kedah itu terhadapnya atas dakwaan mengeluarkan dua kenyataan berunsur fitnah pada April 2016.

Tengku Sariffuddin, 56, selaku defendan dalam kes saman itu berkata serangan politik oleh Dr Mahathir diketahui selepas pasukan kajian (research team) di Bahagian Media Pejabat Perdana Menteri melakukan beberapa kajian selain menerima pelbagai maklum balas berhubung perkara berkenaan.

Beliau yang berkhidmat selama 27 tahun sebagai setiausaha akhbar kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui isu 1MDB bukan sahaja dibangkitkan oleh Dr Mahathir tetapi juga oleh Mukhriz, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menyerang perdana menteri.

Tengku Sariffuddin bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Mohamed Haniff bahawa beliau mengeluarkan dua kenyataan terhadap Mukhriz pada 2016 bagi mempertikaikan kredibiliti Mukhriz.

Sambung keterangan 16 Julai

Tengku Sariffuddin, yang diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos akan menyambung keterangannya pada 16 Julai.

Saman itu didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Mukhriz, selaku plaintif memfailkan saman pada 3 Mei 2016 selepas mendakwa bahawa Tengku Sariffuddin telah mengeluarkan dua kenyataan yang berbaur fitnah terhadap beliau pada April, 2016.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud Dr Mahathir dan Muhyiddin berkomplot dalam kempen jahat bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah dan plaintif masih terbabit secara langsung dalam komplot itu.


-Bernama

Lihat Komen