malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DOJ: Rampasan Equanimity dicabar di mahkamah Indonesia
Diterbitkan:  Mar 27, 2018 7:49 PM
Dikemaskini: 12:05 PM
ADS

Pemfailan mahkamah Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mendedahkan pihak menuntut Equaminity telah berusaha untuk menyekat rampasan kapal pesiar mewah itu di mahkamah Indonesia.

Menurut pemfailan yang dibuat DOJ di Mahkamah Daerah California Tengah semalam, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha menghalang Equanimity daripada dirampas pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

"Ketika kerajaan (AS) mengesan kapal itu di Indonesia baru-baru ini dan meminta pihak berkuasa negara itu merampasnya bagi pihak AS, pihak menuntut memfailkan tuntutan mahkamah di sana untuk menghalangnya.

"Modus operandi pihak menuntut jelas: Mereka akan melakukan apa sahaja agar Equanimity berada di luar AS dan menghalangnya jatuh ke tangan kerajaan," kata dokumen itu yang dilihat Malaysiakini.

Pihak menuntut dalam tuntutan perampasan sivil Equanimity adalah Equanimity (Cayman) Ltd, Equanimity Crew (Cayman) Ltd, Equanimity Lifestyle (Cayman) Ltd, and Equanimity Operations and Maintenance (Cayman) Ltd.

Terjemahan bahasa Inggeris petisyen kepada Mahkamah Daerah California bertarikh 20 Mac dilampirkan dalam dokumen DOJ tersebut.

Petisyen bagi pihak syarikat Equanimity (Cayman) Ltd, yang merupakan pemilik berdaftar kapal, menggesa Mahkamah Jakarta Selatan untuk mengisytiharkan rampasan sebagai tidak sah, dan untuk mengelak waran rampasan dikeluarkan.

Pihak menuntut juga mahu mahkamah mengarahkan kapal itu dipulangkan kepada Equanimity Ltd dan mengenakan kos kepada kerajaan Indonesia.

Mereka antara lain berhujah rampasan itu tidak memenuhi syarat yang dinyatakan undang-undang bantuan perundangan bersama (MLA) yang sepatutnya mengendalikan kes jenayah, dan bukannya sivil.

Mereka juga berhujah Equanimity tidak boleh diklasifikasikan sebagai "perolehan daripada jenayah" bawah undang-undang anti-penggubahan wang haram Indonesia.

Ini kerana ia dirampas menerusi saman perampasan sivil yang tidak termasuk dalam prosiding jenayah, kata mereka lagi.

DOJ memfailkan saman sivil terhadap Equanimity dan beberapa aset lain pada Jun tahun lalu, yang didakwa diperoleh melalui dana 1MDB yang diselewengkan dan dicuci melalui sistem kewangan AS.

Equanimity Ltd - dan kapal pesiar berharga kira-kira RM1 bilion itu - didakwa milik ahli perniagaan asal Pulau Pinang, Low Taek Jho.

Tak halang hak penjagaan

Pada 28 Februari lalu, polis Indonesia bersama-sama ejen khas Biro Siasatan Persekutuan (FBI) merampas Equanimity di Telok Benoa, Bali.

Kapal pesiar itu kekal di Teluk Benoa bawah jagaan polis Indonesia.

Sementara itu, dalam pemfailan semalam, DOJ berkata tuntutan mahkamah di Indonesia tidak akan menghalang mereka untuk mendapat hak penjagaan perlindungan terhadap kapal itu dan membawanya ke AS untuk dijual.

Arahan penjagaan perlindungan dikatakan boleh dirangka kerana ia tidak mencampuri proses tuntutan mahkamah di Indonesia.

"Misalnya, mahkamah dapat mengeluarkan arahan yang pihak penuntut perlu menyerahkan hak penjagaan kapal kepada kerajaan hanya jika dan apabila pihak menuntut mendapat semula kawalan terhadap kapal dengan menang tuntutan mahkamah.

"Jika mereka kalah dan kawalan kekal dengan (pihak berkuasa) Indonesia, Indonesia dijangka menyerahkan hak penjagaan kepada AS, dan mahkamah hanya perlu mengarahkan pihak menuntut untuk tidak terus masuk campur dalam urusan pemindahan hak penjagaan kepada AS," katanya lagi.

Untuk rekod, Low menafikan sebarang salah laku dan 1MDB konsisten tiada wangnya yang diselewengkan.

Low juga melalui jurucakapnya berkata kesal rampasan asetnya dibuat tanpa sebarang pembuktian dan ia menunjukkan DOJ "meneruskan langkah keterlaluan di peringkat global."

[Baca berita asal]


Berita berkaitan

DOJ ulangi - Jho Low beli Equanimity guna dana 1MDB

Ejen FBI: Jho Low beri arahan melalui WeChat

Gagal bawa Equanimity ke AS, DOJ mohon hak jaga kapal​​​​​​​
 

Lihat Komen