malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Banglo pindah milik ke Guan Eng pada 2015, kata saksi
ADS

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa urusan pindah milik lot tanah banglo di No 25 Jalan Pinhorn di George Town atas nama Phang Li Koon kepada nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah dibuat pada 2015.

Penolong Pengarah (Pendaftaran) Pejabat Tanah & Galian Pulau Pinang Mohd Syukri Mohd Mokhtar,33, berkata urusan pindah milik itu dibuat pada 4 petang 21 Oktober 2015 dengan sebanyak 1/1 bahagian dan tanah itu yang menempatkan banglo mewah Lim adalah tanah jenis pegangan kekal yang berkeluasan 944 meter persegi.

"Tarikh daftar yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang adalah pada 7 Dis 1983. Cukai tanah bagi tanah ini adalah sebanyak RM510.

“Tanah ini (No 25 Jalan Pinhorn) adalah berstatus ‘First Grade’ bererti pemilik tidak perlu mengemukakan permohonan untuk menukar syarat sekiranya ingin mengubah kegunaan tanah sama ada kepada tanah berstatus industri, pertanian atau pembangunan," katanya dalam pernyataan saksi yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail pada perbicaraan hari kedua kes rasuah Lim dan Phang.

Mohd Syukri, saksi pendakwaan ke-25, turut memberitahu bahawa sebelum ini, lot tanah itu adalah atas nama Ming Holdings (M) Sdn Bhd dan urusan pindah milik tanah berkenaan daripada Ming Holdings kepada Phang dibuat pada 10.54 pagi 2 Dis 2008.

Penolong Pengurus Cawangan Maybank Islamic Cawangan Jalan Penang, Ooi Beng Joo, 57, pula mengesahkan bahawa Lim telah mengeluarkan cek berjumlah RM100,000 bertarikh 20 Mei 2014 daripada akaun Maybank Islamic miliknya dan dibayar kepada Phang.

Saksi pendakwaan ke-23 itu juga mengesahkan bahawa cek RM420,000 bertarikh 17 Ogos 2015 milik Lim juga dimasukkan ke akaun Phang.

"Berdasarkan penyata akaun Lim Guan Eng bagi Ogos 2015, saya sahkan terdapat satu transaksi pengeluaran wang pada 26 Ogos 2015 iaitu transaksi ‘inward clearing cheque’ sebanyak RM420,000 melalui cek tersebut," katanya.

Perbicaraan kes itu, yang sepatutnya berjalan sehingga Jumaat, ditangguhkan ke 9 April selepas Hakim Hadhariah membenarkan permohonan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim untuk menangguhkan kes itu atas alasan perlu menghadiri persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

Gobind dan Lim mahu menghadiri sesi pembentangan usul persempadan semula kawasan pilihan raya dan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim, 58, dituduh melakukan kesalahan tersebut ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di Pulau Pinang pada 18 Julai, 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan, Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta yang tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya (Lim).

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di Pulau Pinang pada 21 Oktober 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Phang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

-Bernama
 

Lihat Komen