malaysiakini logo
story-image
ADS

Seramai 80 anggota PKR Gua Musang, Kelantan umum keluar parti dan menyertai PAS bermula hari ini selepas hilang keyakinan terhadap parti berkenaan.

Bekas timbalan ketua PKR Cabang Gua Musang, Syed Azhar Syed Alwi, berkata keputusan itu dibuat susulan Pakatan Harapan (HARAPAN) kini dilihat sudah hilang hala tuju dan terpesong daripada perjuangan asal.

"Kemasukan Tun Dr Mahathir Mohamad serta parti baharunya ke dalam HARAPAN dilihat tidak menguntungkan politik Melayu selain kepentingan Islam itu sendiri.

"Kami juga kecewa dengan sikap parti dalam komponen HARAPAN yang berterusan bercakaran dan berebut kerusi untuk bertanding.

Muak dan bosan

"Ini menyebabkan rakyat semakin bosan dan muak selain fitnah dan tohmahan yang tidak berkesudahan dimainkan Parti Amanah Negara (AMANAH)," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Dalam sidang media berkenaan, Syed Azhar dan rakan-rakannya turut menyerahkan borang keahlian kepada Yang Dipertua PAS Gua Musang, Azman Ahmad sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Syed Azhar berkata, beliau yakin ramai lagi ahli PKR bakal mengikut jejak mereka iaitu keluar daripada PKR yang disertainya sejak 20 tahun lalu.

"Perkara paling ketara yang saya lihat di Kelantan ini adalah isu perebutan kerusi kerana masing-masing berebut untuk bertanding.

"Justeru, saya tidak nampak hala tuju mereka selain melihat hanya PAS sahaja mampu memerintah Kelantan," katanya.

Lihat Komen