malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Serangan saraf: Australia usir diplomat Rusia
ADS

GLOBAL | Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull, telah memberi arahan agar dua diplomat Rusia meninggalkan negara itu dalam tempoh tujuh hari sebagai reaksi terhadap insiden serangan gas saraf ke atas seorang bekas pengintip dan anak perempuannya di Britain baru-baru ini, lapor agensi berita China Xinhua.

Kerajaan Turnbull turut mengambil bahagian dalam apa yang disifatkan sebagai "pengusiran kolektif pegawai risikan Rusia terbesar dalam sejarah" pada Selasa, susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengusir 60 diplomat negara itu pada Isnin.

Keputusan Australia itu dibuat selepas satu senjata kimia didakwa digunakan dalam percubaan membunuh bekas perisik Rusia, Sergei Skripal, dan anaknya, Yulia, di London pada 4 Mac 2018 lalu.

Dalam sidang akhbar bersama dengan Menteri Hal Ehwal Luar, Julie Bishop (gambar), pada Selasa, Turnbull berkata pengusiran itu adalah satu "kalibrasi dan mesej yang jelas kepada rakyat Rusia."

Bishop turut membayangkan kemungkinan Australia memboikot Piala Dunia yang bakal dihoskan oleh Rusia bermula pertengahan Jun ini.

Terdahulu, mereka mengeluarkan satu kenyataan bersama yang menyaksikan Turnbull mengisytiharkan bahawa kedua-dua diplomat Rusia yang diusir telah dikenal pasti sebagai pegawai perisik yang tidak didedahkan.

Pemimpin pembangkang, Bill Shorten, menyokong keputusan kerajaan itu. Lebih 100 diplomat Rusia telah diusir dari lebih 20 negara barat dalam apa yang disifatkan sebagai tamparan paling hebat kepada Rusia dari segi hubungan diplomatik sejak Perang Dingin.

Kremlin menafikan sebarang penglibatan dalam insiden membabitkan anggota keluarga Skripal.

 

-Bernama

 

Lihat Komen