malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

Parti Keadilan Nasional bahagian Shah Alam terpaksa membatalkan program 'karnival rakyat' yang dijangka akan diadakan selama dua hari bermula pagi esok di Jalan Kebun, Klang.

Ketua Perhubungan Selangor Mohamad Azmin Ali berkata, penganjur program itu ditangguhkan ekoran "kerahan besar-besaran anggota polis" di sekitar kawasan terbabit. Beliau bagaimanapun tidak menyebut tarikh baru acara berkenaan.

"Acara ini tidak dibenarkan walaupun ia program rakyat," ujar beliau kepada malaysiakini hari ini.

Ketua polis daerah Klang ACP Karn Kam Peng dilaporkan hari ini berkata perhimpunan itu tidak mendapat permit polis dan mengarahkan orang ramai tidak menyertainya. Beliau mendakwa polis melarang "demi menjaga keselamatan orang ramai" kerana penganjur majlis itu sebuah parti politik.

Azmin berkata, polis mengadakan sekatan-sekatan jalan di sekitar kawasan berkenaan dan kerahan secara besar-besaran ini menyulitkan orang ramai.

ADS

Acara-acara yang diatur dalam karrnival itu termasuk solat subuh secara berjemaah, jogathon, hari keluarga, pertandingan melukis untuk kanak-kanak dan kempen menderma darah, selain ceramah politik pada sebelah malam.

Azmin menjelaskan pihak hospital telah memberikan surat pengesahan untuk menyertai kempen menderma darah.

"(Bagaimanapun) pihak polis telah mendesak supaya menarik balik pengesahan tersebut," katanya.

ADS

Tambahnya, penganjur karnival akan mengadakan pertemuan dengan polis bagi membincangkan perkara itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar mendakwa kejadian di Kulai, Johor antara penyokong parti itu dengan polis berpunca daripada provokasi pihak berkuasa itu sendiri.

"Kejadian itu berlaku akibat provokasi anggota-anggota keselamatan sendiri," katanya, dan menambah kejadian seumpama itu tidak pernah terjadi di tempat-tempat ceramah PAS sebelum ini. Dalam kejadian itu, tujuh penyokong PAS ditangkap kerana dilaporkan disyaki menyerang anggota polis.

Dalam siri ceramah PAS sekitar bulan lalu, sekurang-kurangnya 49 pemimpin dan penyokong ditangkap dan sebahagian nereka telah didakwa di mahkamah. Tiga orang, termasuk ahli jawatankuasa pusat Mohamad Sabu, ditahan beberapa jam di Kuala Klawang, Negeri Sembilan pada 16 Julai.

Sementara 16 ditangkap di Pokok Sena, Kedah (awal Julai), lapan ditangkap di Batu Pahat (23 Julai), tujuh di Kulai (31 Julai) dan dua orang di Selangor (31 Julai).


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.