malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

KATA MP l RUU Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan di Parlimen, semalam. Denda maksimum berhubung kesalahan adalah RM500,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun.

Ini sangat menggerunkan kepada semua. Mungkin inilah tujuannya, untuk menakutkan semua pihak terutamanya pembangkang.

Selain pihak pembangkang, media juga akan terasa "kekangan" yang hebat. Ini akan menyukarkan banyak pihak menjalankan tugas masing-masing.

Seperti biasa pihak pemerintah akan mempunyai banyak kelebihan ke atas orang awam dan pembangkang. Untuk membuktikan sikap yang adil pihak kerajaan mestilah mempamerkan kesaksamaan mereka dari awal lagi dengan tidak memilih bulu siapa yang terlibat atau bersalah.

Untuk menguji keikhlasan kerajaan, saya mencabar RUU Antiberita Tidak Benar ini dilaksanakan terdahulu dan segera dalam isu-isu yang melibatkan negeri Terengganu yang banyak mengalami projek sakit dan runtuh tetapi tiada penyelesaiaan atau pendakwaan pesalah yang terlibat.

Contohnya seperti bumbung stadium bolasepak dan kolam renang yang runtuh, kompleks bebas cukai dan Taman Ilmu yang terbengkalai. Banyak maklumat projek yang sakit ini diselewengkan faktanya sehingga rakyat tidak mengetahui sebab serta punca sebenarnya kegagalan struktur dan projek-projek ini.

Pada 9 Februari lalu, akhbar-akhbar tempatan melaporkan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, yang menyatakan laporan dan gambar-gambar dalam media sosial tentang kerosakan projek Taman Ilmu adalah "gambar lama" sebelum ia dibaiki untuk memberi gambaran buruk kerajaan Terengganu.

Seminggu selepas itu pada pada 15 Februari saya sendiri melawat serta meninjau projek Taman Ilmu di Besut untuk melihat situasi sebenarnya di tapak.

Saya dapati situasi sebenarnya adalah konsisten seperti gambar-gambar yang disiarkan di media sosial. Penafian menteri besar Terengganu adalah tidak tepat dengan situasi sebenarnya di tapak.

Kerosakan fizikal yang amat meluas dan teruk telah berlaku dengan kabel-kabel eletrik utama dicuri. Tidak ada seorang pun pengawal keselamatan kelihatan di tapak. Satu usaha besar-besaran perlu dilaksanakan untuk memulihkan projek ini dengan perbelanjaan jauh lagi tinggi dari kos asal RM350 juta.

Hanya dua bangunan kecil hostel di atas tapak 700 ekar kelihatan yang disewakan kepada sebuah universiti jiran - Unisza. Taman Ilmu sendiri tiada sebuah universiti sendiri. Umumnya hanya tiga peratus projek boleh digunakan selepas lebih 10 tahun penantian.

Mengejutkan lagi, pada Disember 2017 pada sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, kerajaan menyatakan Taman Ilmu telah dibaiki dengan kos lebih RM32 juta yang dibayar kepada Syarikat POSTI.

Dengan kerosakan yang begitu meluas hari ini, ia kelihatan seolah olah tiada apa-apa pembaikian yang telah dilaksanakan.

Ini juga kelihatan seperti "berita tidak benar" juga! Oleh kerana situasi ini dan penafian yang berterusan, ia mesti disiasat di bawah akta "berita tidak benar."

Bagi membuktikan kesungguhan dan keikhlasan kerajaan, saya mencabar menteri di Jabatan Perdana Menteri segera menyiasat isu berita tidak benar keadaan sebenar Taman Ilmu.


RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah anggota parlimen Kuala Terengganu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen