malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Citibank lulus pinjaman rumah RM2.1 juta Guan Eng - saksi
Diterbitkan:  Mar 27, 2018 12:24 PM
Dikemaskini: 4:26 AM
ADS

Mahkamah Tinggi George Town hari ini diberitahu bahawa Citibank Berhad telah meluluskan pinjaman berjumlah RM2.1juta kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bagi pembelian sebuah rumah berharga RM2.8 juta pada 2015.

Lim Wern Shern, pengurus jualan di Citibank Berhad Pulau Pinang dari 2012 hingga Nov 2017, mengesahkan ‘Application For Credit Facility- Letter of Approval’ atas nama Lim Guan Eng bertarikh 23 Julai 2015, adalah surat kelulusan pinjaman Lim yang dialamatkan kepada Lim dan disalinankan kepada peguam Tetuan Zaid Ibrahim &Co.

Wern Shern, saksi pendakwaan ke-12, juga mengesahkan tanda tangan di muka surat 29 surat itu adalah tanda tangan Lim dan mengesahkan perjanjian itu ditandatangani pada 24 Julai 2015 di pejabat Lim di Komtar di George Town, di mana beliau turut hadir.

"Saya sahkan tanda tangan di ruangan ‘Signature of Purchaser (s)’ adalah tanda tangan Lim Guan Eng manakala tanda tangan di ruangan ‘Signature of Vendor(s)’ adalah Phang Li Koon. Saya sendiri berjumpa dengan Phang Li Koon untuk mendapatkan pengesahan dan tanda tangan, " katanya dalam pernyataan saksi yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail pada perbicaraan hari kedua kes rasuah Lim dan Phang.

Wern Shern, yang kini bekerja sebagai Perancang Penilaian Kewangan Bertauliah di sebuah syarikat, berkata hartanah beralamat No 25, Jalan Pinhorn, Georgetown dengan harga jualan RM2.8 juta itu adalah berkeluasan tanah 10,000 kaki persegi dan keluasan bangunan 6,000 kaki persegi.

Merujuk surat bertarikh 18 Jun 2015 atas nama Lim, beliau berkata, jumlah pinjaman yang dipohon oleh Lim ialah RM2.1 juta dengan jangka masa pinjaman selama 15 tahun dengan ansuran bulanan RM16,172.39.

"Jumlah pinjaman yang diberikan oleh Citibank Berhad adalah 75 peratus daripada nilai harga rumah yang dibeli. Oleh kerana harga rumah yang ingin dibeli adalah RM2.8 juta, jumlah pinjaman yang dibenarkan adalah RM2.1 juta," jelas saksi itu.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, Wern Shern berkata ini adalah permohonan kedua Lim selepas Lim membatalkan perjanjian pembiayaan perumahan pertama yang ditandatangani pada 18 Dis 2013.

Beliau berkata pada 5 Jun 2015, isteri Lim, Betty Chew Gek Cheng, sekali lagi menghubunginya untuk memulakan semula proses pinjaman dengan Citibank dan pada 8 Jun tahun sama, beliau telah berjumpa dengan Betty di pejabatnya di Tingkat 9, Menara Penang Garden, di George Town.

Katanya beliau membawa borang permohonan baharu untuk diisi kerana permohonan pinjaman sebelum ini tidak boleh digunakan disebabkan telah terbatal.

Wern Shern kemudian menemu bual Betty dan mengisi borang permohonan pinjaman bank yang baharu atas nama Lim Guan Eng.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim, 58, dituduh melakukan kesalahan tersebut ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai .

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan, nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta yang tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya (Lim).

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 21 Okt 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Phang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen