malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sultan Selangor: Pengambilalihan air perlu dimuktamadkan
Diterbitkan:  Mar 26, 2018 6:47 PM
Dikemaskini: 10:59 AM
ADS

DUN |  Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan agar kerajaan pusat dan Selangor bekerjasama memuktamadkan proses pengambilalihan syarikat konsesi air atas semangat federalisme demi menjamin kepentingan negeri dan rakyat.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan semua pihak supaya mengambil sikap bertanggungjawab dengan tidak mempolitikkan isu air di Selangor.

"Beta berharap isu air yang melibatkan kepentingan rakyat ini dapat diatasi dengan segera.

"Sebelum ini, beta pernah bertitah politik bukan semata-mata memburu kuasa tetapi mencapai urus tadbir cemerlang bagi membangunkan negeri dan memenuhi aspirasi rakyat," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-13 di Bangunan DUN di Shah ALam.

Turut berangkat hadir mengiringi baginda Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin berharap usaha kerajaan negeri dan Air Selangor menjamin kelestarian bekalan air akan dilaksanakan secara holistik, efisien dan mampu bayar untuk rakyat.

Baginda turut menitahkan kerajaan Selangor mengambil langkah proaktif menggantikan paip lama yang pecah dan bocor untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) yang menyaksikan kadar NRW susut daripada 32.6 peratus pada akhir 2015 kepada 30.1 peratus pada hujung tahun lepas dengan penggantian paip lama sepanjang 422.5 kilometer (km) membabitkan kos RM373.7 juta.

Dalam perkembangan lain, Sultan Selangor sekali lagi melahirkan rasa dukacita terhadap penyebaran berita-berita palsu yang mendorong gejala fitnah semakin berleluasa.

Titah baginda sekiranya kegiatan tidak bermoral seperti fitnah ini terus menular, ia boleh membawa kepada perpecahan rakyat sehingga menghancurkan negeri dan negara.

"Apa yang membimbangkan beta, ramai pula yang percaya kepada berita-berita palsu ini lantas menyebarkannya tanpa memeriksa kesahihan sesuatu berita itu.

"Justeru, beta ingin mengingatkan terutama rakyat Selangor yang berbilang bangsa, agama dan keturunan supaya mengekalkan dan mengukuhkan lagi perpaduan yang kita nikmati sekarang," titah baginda.


-Bernama

Lihat Komen