malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pendakwaan akan buktikan Lim, Phang tandatangan jual beli banglo
ADS

Pihak pendakwaan akan membuktikan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon telah menandatangani perjanjian jual beli lot tanah dan banglo pada harga belian RM2.8 juta sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Daud yang membacakan ucapan pembukaan pendakwa raya berkata keterangan juga akan menunjukkan bahawa pada 8 Sept 2015, Lim telah membayar duti setem berjumlah RM122,100 atas nilai hartanah RM4.27 juta. 


"Keterangan akan menunjukkan bahawa pada 28 Julai 2015, tertuduh Lim Guan Eng dan tertuduh Phang Li Koon telah menandatangani Perjanjian Jual/Beli untuk lot tanah dan rumah di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town, Pulau Pinang pada harga belian RM2.8 juta sedangkan nilaian semasa hartanah tersebut adalah sebanyak RM4.27 juta.

Keterangan akan menunjukkan tertuduh Lim Guan Eng mengetahui bahawa harga belian RM2.8 juta adalah di bawah harga nilaian dan/atau harga pasaran, yang Lim mengetahui bahawa tertuduh Phang Li Koon mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh Lim Guan Eng," katanya.

Beliau berkata keterangan akan menunjukkan Phang telah bersubahat dengan Lim untuk mendapatkan diri Lim suatu barang berharga dengan suatu balasan yang Lim mengetahui tidak mencukupi iaitu lot tanah dan rumah itu.

Abdul Rashid berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang akan menunjukkan bahawa Lim sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerima suatu barangan berharga iaitu lot tanah dan rumah itu dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi daripada Phang yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi Lim selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Keterangan akan menunjukkan bahawa tertuduh Phang Li Koon telah membeli rumah di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town, Pulau Pinang pada tahun 2008 pada harga RM2.5 juta dan membuat bayaran ansuran bulanan kepada Public Bank Berhad yang berjumlah RM11,872 sebulan. Keterangan juga akan menunjukkan bahawa tertuduh Lim Guan Eng dan isteri Betty Chew Gek Cheng telah menyewa rumah berkenaan daripada Phang sejak 2009 sehingga 2015 dengan sewaan sebanyak RM5,000 sebulan. 


Katanya keterangan akan menunjukkan Phang mengalami kerugian sebanyak RM6,872 sebulan dan jumlah kerugian selama tempoh sewaan Lim dari Julai 2009 sehingga Jun 2015 adalah sebanyak RM494,784.

Katanya keterangan juga akan menunjukkan bahawa kedua-dua tertuduh telah menandatangani perjanjian tambahan/pilihan bertarikh 23 Jun 2014 yang Lim telah membuat bayaran melalui cek berjumlah RM100,000 bagi membolehkan Lim diberikan pilihan untuk membeli rumah itu pada harga RM2.8 juta dan tempoh sah laku pilihan ini adalah selama lima tahun daripada tarikh perjanjian.

Katanya dalam membuktikan kes terhadap kedua-dua tertuduh pihak pendakwaan akan bergantung kepada keterangan langsung, keterangan ikut keadaan dan keterangan dokumen bagi menunjukkan bahawa kesalahan itu dilakukan Lim dan Phang pada tarikh, masa dan tempat sepertimana yang terkandung dalam pertuduhan.

Abdul Rashid berkata pihak pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan jelas menunjukkan bahawa Lim selaku Pengerusi Jawatankuasa Perancang Negeri telah terlibat meluluskan permohonan Syarikat MESB bagi projek perlingkungan semula Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Am untuk Lot 436 dan 437 Mukim J, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang.

Katanya pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan berhubung projek perlingkungan semula oleh Jabatan Perancang Bandar(JPN) dan Desa Negeri Pulau Pinang yang keterangan saksi-saksi akan mengesahkan bahawa semasa mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang ahli-ahli tetap Jawatankuasa Perancang Negeri termasuk Lim telah menerima Kertas Kerja JPN bertajuk ‘Untuk Persetujuan Permohonan Perlingkungan Semula Daripada Zon Pertanian Kepada Zon Perumahan Am di Atas Lot-lot 436 & 437, Mukim J, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang’ yang mengandungi maklumat syarikat dan ahli lembaga pengarah Syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd (Syarikat MESB) yang terdiri daripada Phang yang merupakan seorang daripada Pengarah di dalam Syarikat MESB.

"Keterangan saksi-saksi juga akan mengesahkan bahawa perkara yang sama juga dapat dilihat semasa Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang yang ahli-ahli tetap termasuk Lim telah menerima Kertas Kerja JPN yang mengandungi maklumat syarikat dan ahli lembaga pengarah Syarikat MESB yang terdiri daripada Phang yang merupakan salah seorang Pengarah di dalam Syarikat MESB," katanya.

Katanya keterangan daripada saksi-saksi akan menunjukkan bahawa ketika keputusan dibuat semasa mesyuarat itu, Lim tidak ada mengisytiharkan hubungan dan kepentingan bahawa dia sedang menyewa rumah Phang.

Beliau berkata semasa keputusan kedua Mesyuarat JPN pada 18 Julai 2014 untuk membincangkan permohonan perlingkungan semula daripada Syarikat MESB, Lim baru sahaja menandatangani perjanjian bertarikh 23 Jun 2014 untuk membeli rumah yang Lim sewa daripada Phang.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim, 58, dituduh melakukan kesalahan tersebut ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta yang tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya (Lim).

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 21 Okt 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Phang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail.

-Bernama

Lihat Komen