malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Zuckerberg beli halaman akhbar siar permohonan maaf
Diterbitkan:  Mar 26, 2018 12:27 AM
Dikemaskini: 6:23 PM
ADS

GLOBAL l Mark Zuckerberg membeli iklan satu halaman di akhbar-akhbar Britain pada Ahad bagi menyiarkan permohonan maaf berhubung data 50 juta penggunanya yang jatuh ke tangan firma perunding politik, Cambridge Analytica.

Memetik laporan Reuters, iklan itu yang menggunakan tulisan hitam dan logo Facebook bersaiz kecil dengan latar belakang putih disiarkan di edisi Ahad akhbar-akhbar Britain, termasuk The Observer - salah satu akhbar yang membuat liputan terhadap isu itu.

"Kami mempunyai tanggungjawab untuk melindungi maklumat anda. Jika kami gagal, kami tidak layak melakukannya," kata iklan itu yang ditandatangi Mark selaku pengasas dan ketua pegawai eksekutif Facebook Inc.

Terdahulu, pemberi maklumat mendakwa Cambridge Analytica secara salah dapat mengakses maklumat pengguna laman sosial terbesar itu untuk mendapatkan profil pengundi Amerika Syarikat yang akhirnya menyumbang kepada kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden pada 2016.

Ekoran pendedahan itu, Facebook kini berdepan peningkatan penelitian kerajaan di Amerika Syarikat dan Eropah.

ADS

"Ini adalah pelanggaran kepercayaan. Saya memohon maaf kami tidak berusaha lebih (untuk melindungi maklumat pengguna) pada masa itu," katanya lagi seperti dipetik.

Beliau sebelum ini turut membuat permohonan maaf dalam wawancara yang disiarkan saluran televisyen di Australia.

Sejak tercetusnya isu itu, Facebook mengalami kerugian AS$50 bilion dalam nilai pasaran.

ADS

Di Malaysia pula, Cambridge Analytica dikaitkan dengan pilihan raya umum (PRU) ke-13 di Kedah. Laman webnya menyatakan syarikat itu melakukan kerja untuk BN di Kedah sejak 2008.

Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang ketika itu menjadi pengerusi Umno Kedah, berkata tidak tahu-menahu tentang perkara itu.

Ketua kumpulan SCL Group Southeast Asia yang merupakan cabang Asia tenggara Cambridge Analytica, Azrin Zizal, pula berkata syarikat itu tidak bekerja untuk BN sebaliknya memberi nasihat berkaitan PRU ke-13 secara terus kepada Mukhriz.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen