malaysiakini logo
story-image
ADS

Sehari sebelum bermulanya perbicaraan kes rasuahnya, kebimbangan terbesar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng adalah terhadap keluarga.

"Mereka (keluarga) yang paling terjejas, lebih daripada kami.

"Bagi kami ini memang perlu dihadapi kerana sudah menjadi sebahagian daripada perjuangan. Apa pun kesakitan dan kesusahan, ia adalah sesuatu yang perlu ditempuhi.

"Saya fikir keluarga adalah pihak yang menerima kesan besar, bukan sampingan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata kini adalah waktu sukar dan penuh tekanan yang terpaksa ditempuhi keluarganya.

"Tentulah mereka kecewa. Satu-satunya cara adalah untuk memberitahu mereka untuk terus berjuang," katanya lagi.

Menyifatkan dakwaan ke atasnya sebagai "konspirasi", beliau yang juga setiausaha agung DAP berkata pihak di sebalik dakwaan ini adalah "jahat" kerana ia akan memberi kesan jangka panjang kepada keluarganya.

Lim bagaimanapun berharap akan dapat membuktikan beliau tidak bersalah ketika perbicaraan nanti.

Beliau juga berkata sedia dengan apa sahaja kemungkinan dan akan menerimanya dengan tenang.

Perbicaraan 23 hari yang akan bermula esok itu berkenaan dakwaan terhadapnya dan ahli perniagaan Phang Li Koon (gambar) berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran dan penukaran status sebidang tanah daripada pertanian kepada perumahan.

Pada 30 Jun 2017, Lim mengaku tidak bersalah terhadap dua dakwaan berhubung kes itu.

Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam, iaitu ketua menteri, untuk mendapatkan keuntungan bagi diri dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan perumahan awam di daerah barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Aras 28, Bangunan Komtar di George Town pada 18 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tuduhan kedua berkenaan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan satu lot tanah dan sebuah banglo di No 25, Jalan Pinhorn, George Town pada 28 Julai 2015 daripada Phang pada harga RM2.8 juta, harga yang didakwa beliau ketahui tidak sepadan dengan nilai pasaran bagi hartanah berkenaan iaitu RM4.27 juta.

Tuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Phang selaku bekas pemilik banglo itu juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan bersubahat dengan Lim untuk mendapatkan banglo tersebut.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 165 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen