malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
1MDB: Tak terus hukum tak semestinya bela, kata Hadi
Diterbitkan:  Mar 25, 2018 8:57 PM
Dikemaskini: Mar 26, 2018 3:54 AM
ADS

Langkah PAS untuk tidak terus menghukum pihak yang dituduh terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB tidak bermaksud parti itu mempertahankan kejahatan, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata ia kerana parti itu tidak mahu menjatuhkan hukuman sebelum ia terbukti benar-benar melakukan kesalahan.

“PAS ambil pendirian untuk tidak mengamalkan budaya terus menghukum individu yang terlibat dengan dakwaan salah laku pengurusan 1MDB.

"Pendirian ini bukan bermakna PAS membela orang yang jahat, tetapi kita mahu tuduhan itu dikendalikan seadilnya. Kita hendak orang yang dituduh dianggap tidak bersalah (sebelum dibuktikan)," katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.

Beliau juga menempelak sikap mereka yang terlalu cepat menjatuhkan hukuman terhadap pihak yang baru sahaja dituduh dan belum dibuktikan bersalah.

Februari lalu, Abdul Hadi dilaporkan berkata PAS pernah berjumpa sendiri dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib untuk memberi teguran berkaitan isu itu, selain membangkitkannya di Parlimen.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion dana 1MDB diselewengkan dan mahu merampas aset bernilai AS$1.7 bilion yang diperolehi daripada syarikat itu dan dicuci melalui sistem kewangan negara itu.

Najib yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB bertegas menafikan sebarang salah laku.

Dua hari lalu, beliau juga berkata laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai perkara itu telah membersihkan namanya.

Menurut Sinar Harian lagi, Abdul Hadi turut berpesan agar rakyat tidak terus lupa kepada kesalahan pihak yang dituduh jika dia akhirnya dibuktikan bersalah.

“Islam ini kalau menghukum orang bukan menilai salah dia sahaja, tetapi mesti lihat kepada jasa-jasa dia, bila dia buat baik mesti diambil kira jasa dia," katanya ketika berucap di program Dialog Anak Muda Gagasan Sejahtera seperti dipetik.

* Tulisan ini disunting semula susulan laporan asal telah ditukar.

Lihat Komen