malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Tampal poster anti-Guan Eng, BN P Pinang didenda RM13,000
Diterbitkan:  Mar 25, 2018 5:54 PM
Dikemaskini: 10:03 AM
ADS

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengenakan denda RM13,448 kepada BN negeri itu kerana gagal mendapatkan kebenaran ketika menampal ratusan poster di sepanjang jalan raya negeri itu.

Poster itu menyasarkan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow sebelum ini mengaku partinya yang menampalnya.

Poster itu menyenaraikan apa yang didakwanya sebagai 51 "janji kosong" kerajaan negeri.

Menurut kenyataan MBPP, denda tersebut daripada 27 notis kesalahan dengan bayaran RM250 setiap satu. Ia berjumlah RM6,750.

MBPP turut mengenakan bayaran RM6,698 kepada BN Pulau Pinang untuk logistik dan kerja pembersihan, menjadikan jumlah yang perlu dibayar RM13,448.

Kenyataan itu dikongsi anggota parlimen Tanjong Ng Wei Aik di Facebook.

"Bagi BN Pulau Pinang atau Teng Chang Yeow (gambar), RM13,448 bukanlah jumlah yang besar," katanya.

Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya berkata ia tiada bidang kuasa berhubung pameran bahan seumpama itu di tempat awam sebelum pilihan raya umum.

SPR berkata maka terpulang kepada pihak berkuasa tempatan untuk menguatkuasakan undang-undang mereka sebelum pilihan raya.

Lihat Komen