malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bicara kes banglo Guan Eng esok
Diterbitkan:  Mar 25, 2018 3:00 PM
Dikemaskini: 7:10 AM
ADS

Perbicaraan kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan bermula esok di Mahkamah Tinggi di Georgetown, Pulau Pinang.

Lim dan ahli perniagaan Phang Li Koon menghadapi pertuduhan berhubung pembelian banglo oleh ketua menteri itu yang dikatakan di bawah harga pasaran dan penukaran status sebidang tanah daripada pertanian kepada perumahan.

Perbicaraan dijangka mengambil masa 23 hari sehingga akhir Mei.

Manakala pihak pendakwaan akan memanggil seramai 40 saksi semasa perbicaraan.

Terdahulu dilaporkan Lim, yang merupakan anggota Parlimen Bagan dan ADUN Ayer Putih, tidak menolak kemungkinan perbicaraan itu akan memberi kesan terhadap keputusannya bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

PRU14 dijangka diadakan pada bulan April atau awal Mei.

Pada 30 Jun tahun lalu, Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah terhadapnya.

Lim, 56, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam, iaitu ketua menteri Pulau Pinang, untuk mendapatkan keuntungan bagi diri dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan perumahan awam di daerah barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Aras 28, Bangunan Komtar di George Town pada 18 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lim menghadapi tuduhan kedua iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo di No 25, Jalan Pinhorn, George Town pada 28 Julai 2015 daripada Phang pada harga RM2.8 juta, harga yang didakwa beliau ketahui tidak sepadan dengan nilai pasaran bagi hartanah berkenaan iaitu RM4.27 juta.

Tuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Lihat Komen