malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PAS: Politik 'tanpa dosa pahala' punca pembaziran, kerosakan
ADS

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pembaziran dan salah urus tadbir yang berlaku di negara ini disebabkan mengabaikan faktor dosa dan pahala dalam politik.

Beliau menjadikan kampung halamannya iaitu Terengganu sebagai contoh yang mendapat gelaran negeri 'Darul Runtuh'.

Ia ekoran beberapa kejadian bumbung bangunan runtuh di negeri itu beberapa tahun lalu yang mendapat liputan luas media seperti Stadium Sultan Mizan yang bernilai RM292.9 juta.

Beliau mendakwa keruntuhan bangunan yang melibatkan projek kerajaan negeri adalah contoh betapa teruknya urus tadbir dan ketirisan yang berlaku.

'Menerusi laporan Ketua Audit Negara saban tahun kita saksikan pembaziran demi pembaziran, kerosakan demi kerosakan dalam projek (kerajaan).

"Contoh yang paling jelas adalah Terengganu, walaupun digelar Darul Iman tetapi lebih masyhur dengan Darul Runtuh.

"Buat stadium runtuh, buat masjid runtuh, buat kolam renang pula bocor," katanya ketika berucap pada Konvensyen Mahasiswa Malaysia di Seri Kembangan, Selangor hari ini.

Beliau merujuk kebocoran bumbung Bangunan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) setahun selepas ia siap dibina pada 2008.

Memetik laporan Utusan bertarikh 4 Disember 2015, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pemeriksaan Jabatan Kerja Raya mengesahkan bangunan itu tidak lagi selamat digunakan.

"Ini kerana politik yang tiada asas dosa dan pahala, hanya untuk mengkayakan golongan tertentu," kata Muhammad Khalil yang juga anggota jawatankuasa PAS Marang.

Beliau berkata perjuangan PAS adalah untuk mengembalikan aspek itu dalam politik negara bagi menghentikan pembaziran dan kerosakan yang merugikan rakyat.

Sentiasa dianggap kubu kuat PAS, Terengganu pernah ditadbir sebanyak dua kali oleh parti itu iaitu pada 1959-1961 dan 1999-2004.

Pada PRU ke-13, PAS bersama-sama Pakatan Rakyat hanya kekurangan tiga kerusi DUN bagi membentuk kerajaan negeri. Kali ini, PAS dilihat berazam untuk sekali lagi mentadbir negeri itu.

Lihat Komen