malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRU14: Lebih ramai 'panglima' Najib akan turun berentap
ADS

Bukan pelik apabila pegawai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut berentap dalam pilihan raya umum (PRU).

Lima tahun lalu, beberapa pegawai Najib turut masuk gelanggang seperti Datuk Mohd Fatmi Che Salleh (Kota Bharu), Datuk Shahlan Ismail (Pokok Sena) dan Datuk Seri Dr Shafei Abdullah (Wangsa Maju).

Bagaimanapun, nasib mereka tidak begitu baik masing-masing hanyut dilanda “tsunami Cina”.

Kali ini, muncul lagi spekulasi berkaitan penyertaan lingkaran dalaman (inner circle) perdana menteri dalam pilihan raya yang akan diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.

Cakap-cakap menyebut Shafei akan sekali lagi bertanding di samping Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ghazali Ibrahim, Setiausaha Akhbar Datuk Akmar Hisham Mokhles dan Pegawai Khas Isham Jalil.

Shafei, bekas setiausaha politik di Kementerian Kewangan, dijangka akan cuba menebus kembali kekalahannya dengan majoriti 5,515 di parlimen sama di tangan calon PKR Tan Kee Kwong.

Pengerusi Uda Holdings Berhad (UDA) itu kini dilihat cuba 'melobi' agar dicalonkan semula.

Ketua Umno Wangsa Maju itu telah pun secara terbuka menyatakan kesediaannya bertanding sekali dan telah lama melakukan gerak kerjanya.

Ghazali pula dijangka meneruskan legasi keluarga dengan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, Kedah yang disandang adiknya, Kama Noriah Ibrahim.

Pada pilihan raya umum yang lalu, Kama Noriah memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 2,960 undi mengalahkan calon PKR Zamri Yusuf.

Pedu terletak dalam parlimen Padang Terap yang Ghazali merupakan anggota parlimen kawasan berkenaan pada 2004.

Ada juga cakap-cakap berkenaan Ghazali yang boleh pergi lebih jauh sehingga ke kerusi menteri besar Kedah yang kini disandang oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang dikatakan tidak berapa sihat.

Aktif turun Parit

Bagi Akmar pula, beliau dikhabarkan bertanding di Parlimen Parit, Perak.

Ketika ini, anggota parlimen Parit ialah Datuk Mohd Zaim Abu Hassan. Pada PRU ke-13, Zaim berjaya mengekalkan kerusi Parit dengan undi majoriti 4,497 mengalahkan calon PAS.

Bagaimanapun, timbul juga spekulasi yang mengatakan Zaim masih lagi mahu menjadi anggota parlimen Parit untuk satu penggal lagi.

Namun perkara itu tidak menjejaskan Akmar apabila beliau telah memulakan kerja-kerja 'kempennya' dengan bertemu penduduk setempat.

Perkara itu dapat dilihat apabila Akmar aktif turun ke Parit serta melakukan pelbagai program bersama rakyat di sana. 

Graduan Harvard

Selain itu, khabar mengenai muka baru – Isham (gambar) – yang merupakan lepasan pusat pengajian terkemuka dunia Universiti Harvard akan bertanding di DUN di Selangor juga kedengaran.

Isham yang merupakan pegawai khas Najib kini aktif mengupas isu-isu semasa terutamanya melibatkan negeri itu.

Beliau juga disebut-sebut sebagai antara calon menteri besar Selangor untuk BN apabila dilihat mampu menyaingi menteri besar sedia ada, Datuk Seri Azmin Ali ekoran faktor kredibiliti serta latar belakang pendidikan.

Sekiranya tiada halangan daripada Umno Selangor, Isham dikatakan akan bertanding di kawasan beliau membesar iaitu DUN Paya Jaras.

DUN Paya Jaras yang terletak bawah parlimen Subang kini disandang oleh Mohd Khairuddin Othman daripada PAS.

Pada pilihan raya umum yang lalu, PAS berjaya merampas kawasan yang menjadi 'kubu' BN selama dua penggal apabila Khairuddin mengalahkan Datuk Muhammad Bushro Mat Johor dengan majoriti 5,522 undi.

Lihat Komen