malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
P Pinang sedia ambil alih empangan Mengkuang dengan syarat
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 4:52 PM
Dikemaskini: 8:57 AM
ADS

Kerajaan negeri Pulau Pinang bersedia mengambil alih semula Empangan Mengkuang, yang telah diperbesarkan bagi menampung 73.5 bilion liter air, daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dengan sembilan syarat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata antara sembilan syarat itu adalah KeTTHA perlu memperuntuk RM100 juta untuk pembinaan ampang jajar baharu merentasi Sungai Muda di Rantau Panjang, Seberang Perai Utara dan membina Rumah Pam Lahar Yooi yang bernilai RM80 juta di bawah Rolling Plan Keempat.

Selain itu, KeTTHA perlu menyiapkan projek saluran paip air mentah yang pada asalnya melibatkan kos RM100 juta dari Rumah Pam Mak Sulong di Seberang Perai Tengah, yang baru dinaik taraf ke Terusan Sungai Dua, menjelang Mac 2020 serta menanggung kos pengepaman air mentah di Rumah Pam Mak Sulong untuk memenuhkan Empangan Mengkuang.

Beliau berkata projek memperbesarkan Empangan Mengkuang, yang bernilai kira-kira RM1 bilion, dilaksanakan oleh KeTTHA dan siap sejak Mei 2017 tetapi tidak diserahkan kembali kepada kerajaan negeri.

“Pihak kami telah menghantar surat kepada pihak KeTTHA namun, tiada balasan. Kita nak cepat. Tujuan utama kita mahu ambil alih empangan ini adalah bagi membuat persediaan sebelum musim hujan pada hujung Ogos hingga September ini,” katanya pada sidang media di Geoge Town, hari ini.

Jaseni berkata pihaknya boleh membuat perancangan awal untuk mengelak berlakunya banjir dengan menyalurkan air hujan ke empangan tersebut jika KeTTHA menyerahkan Empangan Mengkuang kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dengan secepat mungkin.

Beliau berkata objektif pengambilalihan empangan itu adalah untuk meningkatkan sumber air mentah bagi memenuhi permintaan air bersih, yang dijangka meningkat pada 2020.

“Kita tidak mahu catuan air berlaku di Pulau Pinang dan disebabkan itu, empangan ini diperbesarkan tiga kali ganda daripada saiz asal. Jumlah takungan air masih lagi tidak penuh, namun pihak kami sanggup ambil alih asalkan pihak KeTTHA memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata empangan itu juga ditutup kepada orang awam sehingga semua cerun yang rosak dibaik pulih.

Sebelum ini, Empangan Mengkuang dijadikan sebagai taman rekreasi.


-Bernama

Lihat Komen