malaysiakini logo
story-image
ADS

Anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang hari ini mencabar Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy supaya bertanding pada pilihan raya umum ke-14.

Cabaran itu dikemukakan berikutan pelbagai kenyataan yang dikeluarkan Arul berkaitan 1MDB baru-baru ini.

Menurut anggota veteran DAP itu, kenyataan yang dikeluarkan Arul sepatutnya dijawab oleh pihak menteri di parlimen namun apa yang berlaku ketika ini, sebaliknya.

“Dua tiga hari ini, dia (Arul) banyak buat kenyataan mengenai 1MDB yang mana semua kenyataan ini sepatutnya dijawab dalam parlimen.

“Apa Arul Kanda buat ini penghinaan kepada parlimen kerana sepatutnya ia dijawab oleh perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri tapi mereka takut dan dia (Arul) jawab di luar parlimen. Mana boleh.

“(Jadi) saya cabar dia untuk bertanding pada pilihan raya umum atas tiket BN supaya selepas ini dia boleh menjawab (isu 1MDB) di parlimen,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Lim berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Arul sebelum ini yang mendakwa tindakan pembangkang menimbulkan semula isu pemilikan syarikat Good Star Ltd bertujuan untuk meraih publisiti murahan.

Sementara itu, dalam sidang media sama, anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua pula mempertikaikan kenyataan Arul yang menyalahkan pihak pembangkang kerana membangkitkan isu berkaitan Good Star Ltd.

Malah, Pua juga mempersoalkan kenyataan Arul yang mendakwa 1MDB telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Menurut Pua kenyataan Arul itu merupakan 'penipuan' kerana ia bercanggah dengan laporan PAC.

"Arul kata semua ini penipuan pembangkang, ia kata 1MDB dah serah semua dokumen yang diperlukan PAC dan ketua audit negara. Ini adalah pembohongan besar.

"Sudah dinyatakan dalam laporan PAC bahawa 1MDB gagal serahkan semua penyata kewangan daripada bank-bank asing," kata Pua.

Selain itu, Pua turut mendakwa tindakan Arul yang mengeluarkan pelbagai kenyataan mengenai 1MDB kini dilihat cuba untuk melindungi ahli perniagaan Jho Low.

"Ini laporan umum, dengan jelas kita nampak bahawa Arul Kanda yang kini presiden 1MDB merupakan pihak yang ingin melindungi Jho Low.

"Kita nak tanya, adakah beliau buat begitu untuk gosok kasut pihak atasan supaya lepas pilihan raya umum akan datang beliau dilantik ketua pegawai eksekutif Khazanah atau sebagai menteri kalau BN menang," soal Pua.

Lihat Komen