malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Switzerland teliti aduan jenayah dibuat Justo
Diterbitkan:  Mar 21, 2018 11:40 AM
Dikemaskini: 4:26 AM
ADS

Pendakwa raya Switzerland menyemak semula aduan jenayah yang difailkan oleh dua bekas rakan sekerja dan pihak yang dikatakan rakan subahat Xavier Justo, bekas pengarah kumpulan tenaga PetroSaudi International Ltd dan pemain penting dalam skandal 1MDB.

Justo memberitahu Reuters bahawa beliau cuba membersihkan namanya setelah dipenjarakan di Thailand atas kesalahan mengugut bekas majikannya berkaitan hubungan dengan 1MDB, yang menjalankan kerjasama dalam industri tenaga dari 2009 hingga 2012.

Dakwaan ugutan itu timbul setelah Justo dikatakan meminta wang daripada PetroSaudi dan mengugut mendedahkan maklumat ketika beliau bersama syarikat itu kepada umum.

PetroSaudi, walaupun bukan subjek dalam aduan itu, melalui peguamnya berkata Justo hanya cuba “mengalih perhatian daripada kesalahannya sendiri”.

Dokumen-dokumen yang dibocorkan Justo itu membuatkan PetroSaudi pada 2011 terpalit dalam siasatan di sekurang-kurangnya enam negara atas dakwaan mencuri aset daripada 1MDB.

Dokumen-dokumen itu membangkitkan persoalan bagaimana usaha sama itu berlangsung dan membuatkan penyiasat meneliti keraguan berkaitan wang yang disalurkan daripada usaha sama itu.

Menurut Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat (AS), sejumlah AS$4.5 bilion (RM17.65 bilion) telah disalah guna oleh pegawai-pegawai tertinggi 1MDB dan sekutu mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menubuhkan 1MDB pada 2009 dan bertindak sebagai pengerusi lembaga penasihatnya. Beliau dan 1MDB menafikan sebarang salah laku.

Justo dibebaskan dari penjara Thai setelah mendapat pengampunan pada 2016.

Dia mendakwa pengakuannya dibuat dalam keadaan mendapat tekanan daripada eksekutif-eksekutif PetroSaudi dan sekutu mereka – termasuk pegawai perhubungan awam dan detektif polis palsu – untuk menutup skandal itu.

Pejabat Peguam Negara Switzerland mengesahkan menerima aduan Justo dan sedang menyemaknya. Badan itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

PetroSaudi turut menafikan sebarang salah laku dalam usaha sama dengan 1MDB dan berjanji memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Diminta mengulas dakwaan Justo, peguam PetroSaudi mengeluarkan kenyataan berkata bekas pekerjanya itu juga mengulangi dakwaan lama dan bercanggah dengan pengakuannya sebelum ini.

“Anak guam kami tidak mengambil sebarang langkah untuk membuatkan dia membuat pengakuan palsu.

“Dia mengaku diugut kerana bukti-bukti terhadapnya banyak dan tidak dapat dipertikaikan,” katanya.

PetroSaudi mempersoalkan kerana Justo mengumumkan aduan jenayahnya kepada awam dalam sidang media yang dibuat hanya beberapa bulan selepas ditemui pihak berkuasa Switzerland.

“Kelihatan pada anak guam kami masa sidang media itu dipilih mencadangkan dia sengaja dibuat sempena menjelangnya pilihan raya di Malaysia, yang perdana menteri Najib Razak mahu dipilih semula,” kata mereka.

Justo berkata pihak berkuasa Switzerland memintanya menangguhkan pemfailan pertuduhan bagi mengelak campur tangan terhadap siasatan lain berkaitan pengubahan wang haram.

Aduan dia dan isterinya itu dibuat terhadap pengasas bersama PetroSaudi yang juga ketua eksekutif Tarek Obaid, bekas pengarah PetroSaudi Patrick Mahony dan Briton Paul Finnigan.

Aduan-aduan itu termasuklah ugutan, peras ugut, membahayakan nyawa orang lain, fitnah, penyimpangan keadilan dan pengubahan wang haram.

Pihak-pihak itu tidak dapat dihubungi badi mendapatkan komen mereka.

Justo telah dijatuhi hukuman tiga tahun penjara di Thailand pada 2015 atas pertuduhan mengugut dan cubaan memeras.

Lihat Komen