malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Pelaburan Saudi Aramco dijangka masuk akhir bulan ini'
ADS

Rundingan mengenai pelaburan bernilai US$7 bilion (US$1=RM3.91) Saudi Aramco dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor, sudah dimuktamadkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

“Kami menjangkakan pelaburan sebanyak US$7 bilion itu akan masuk menjelang akhir bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan perkembangan terkini projek itu semasa merasmikan Persidangan Teknologi Luar Pesisir, selama empat hari, di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada persidangan yang bermula hari ini ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) itu dibangunkan bagi menghasilkan petrokimia berbeza premium bagi memenuhi permintaan domestik ke atas produk petrokimia dan keperluan perundangan kerajaan Malaysia pada masa akan datang apabila standard pelepasan Euro 5 dilaksanakan.

Dengan pelaburan sebanyak US$27 bilion, PIC menyokong Program Transformasi Ekonomi kerajaan dan menempatkan Malaysia pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan keperluan yang semakin meningkat ke atas produk tenaga dan komoditi petrokimia di Asia untuk 20 tahun akan datang.

“Ini akan memacu pertumbuhan sektor hiliran minyak dan gas Malaysia, mendorong Malaysia menjadi perbatasan pembangunan teknologi dan ekonomi baharu," katanya.

Abdul Rahman berkata pelaburan Saudi Aramco menunjukkan keyakinan pelabur antarabangsa ke atas Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Pada Februari tahun lepas, Saudi Aramco menyuarakan minat untuk melabur US$7 bilion dalam projek terpilih dan kemudahan di PIC.

Pelaburan di RAPID Petronas akan merupakan pelaburan terbesar mereka dalam kemudahan penapisan petrokimia mesra alam di luar Arab Saudi.


-Bernama

Lihat Komen