malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Isu Good Star dimain semula untuk publisiti murahan'
Diterbitkan:  Mar 20, 2018 11:04 AM
Dikemaskini: 3:50 AM
ADS

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB berkata tindakan pembangkang menimbulkan semula isu pemilikan syarikat Good Star Ltd bertujuan untuk meraih publisiti murahan.

Kata Arul Kanda Kandasamy isu berkenaan sudah dijelaskan di parlimen dan pemindahan pemilikan itu dibuat kepada Good Star diarahkan oleh bekas syarikat rakan kongsi 1MDB, PetroSaudi International.

"Arahan kepada 1MDB untuk membayar dana AS$700 juta ke dalam akaun Good Star Ltd diberi oleh penjual saham, PetroSaudi, melalui firma guaman White & Case (London), salah satu firma guaman antarabangsa yang profesional, terkenal dan disegani.

"Seterusnya, PetroSaudi sendiri telah memberi pengesahan secara bertulis bahawa apabila dana dibayar oleh 1MDB kepada Good Star, syarikat Good Star itu adalah kepunyaan PetroSaudi,” katanya pada portal berita BN, theRakyat.com semalam.

Pada 2009 1MDB memindahkan dana bernilai AS$700 juta kepada Good Star untuk sebuah projek bersama dengan syarikat PetroSaudi.

Berdasarkan kepada transkrip siasatan dijalankan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), 1MDB hanya menerima pengesahan daripada PetroSaudi mengenai pemilikan ke atas Good Star hanya berlaku enam tahun kemudian, iaitu 2015.

Dakwa tiada dana diseleweng

Bagaimanapun Bank Negara dilaporkan menulis kepada Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin pada 6 April 2016 bagi mengesahkan Good Star Ltd - syarikat yang didaftarkan di Kepulauan Cayman - sebenarnya dimiliki ahli perniagaan kontroversi, Jho Low.

Walaupun surat itu tidak dimasukkan dalam laporan akhir PAC mengenai siasatan 1MDB akhbar The Wall Street Journal mendakwa mereka melihat dokumen yang disampaikan oleh Bank Negara berkenaan.

PAC juga mendedahkan anggota Lembaga Pengarah 1MDB tidak meluluskan pemindahan pemilikan Good Star dan berang dengan perkembangan itu.

Secara berasingan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS juga mendakwa Good Star dimiliki Jho Low dan syarikat berkenaan mengambil dana berjumlah lebih AS$1 bilion daripada 1MDB.

Pusat Kawal Selia Kewangan Switzerland (Finma) juga pernah mengarahkan firma milik Royal Bank of Scotland, Coutts & Co Ltd, menyerahkan semula dana berjumlah 6.6 juta franc (RM29.1 juta) yang didakwa laba haram diperoleh melalui transaksi dikaitkan dengan 1MDB, termasuk pemindahan milik Good Star.

Pada masa sama 1MDB sentiasa menegaskan tiada dana daripada syarikat pelaburan milik penuh kerajaan itu disalah guna atau diselewengkan.

Arul Kanda berkata isu mengenai pemilikan syarikat Good Star kini tidak lagi relevan kerana selepas dana bernilai AS$1.83 bilion dibayar 1MDB kepada Petrosaudi antara 2009 hingga 2011, PetroSaudi membayar balik kesemua dana tersebut melalui unit dana yang berjumlah AS$2.3 bilion.

Rekod syarikat pula kata Arul Kanda menunjukkan daripada AS$2.3 bilion unit dana itu AS$1.4 bilion telah ditebus secara tunai pada 2014.

Bakinya, kata Arul Kanda, sedang melalui proses pengewangan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen