malaysiakini logo
story-image
ADS

Cabaran Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar untuk berdebat dengan Menteri Besar Selangor mengenai isu air negeri ini jelas satu cubaan untuk melindungi isu nasional lebih parah yang melanda Malaysia ketika ini. Terang lagi bersuluh, ianya taktik lapuk Barisan Nasional mengalih isu!

Umum sedia maklum, isu air Selangor terlalu kerap dibangkitkan ahli Parlimen BN dalam Dewan Rakyat mutakhir ini sehinggakan dewan yang sepatutnya membincangkan masalah di semua bahagian pada Persekutuan menjadi medan perbahasan hal ehwal Selangor saja, seolah-olah hanya Selangor negeri yang ada dalam Malaysia.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah acap kali membahaskan isu air Selangor, khususnya pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dengan Menteri di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)

Seperti biasa, menteri mengelak apabila ditanya mengenai hasil dapatan penilai bebas untuk pembiayaan pengambilalihan SPLASH. Menteri Besar Selangor banyak kali menegaskan, pihaknya memerlukan maklumat itu bagi membolehkan tawaran sebut harga dilakukan.

Kementerian tidak bertindak menjadi pemudah cara dalam isu air ini, bahkan menyukarkannya. Kenyataan Ketua Setiausaha KeTTHA Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang (gambar) juga tidak membantu, sebaliknya turut terkait dengan agenda politik.

Lebih malang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Isnin minggu lalu membangkitkan isu air Selangor apabila membuat perbandingan dangkal dengan permasalahan hutang 1MDB yang disiasat di tujuh negara serta menjadi tumpuan masyarakat dunia.

Akibatnya, seluruh negara menjadikan perdana menteri sebagai bahan ketawa, yang mana jelas dapat dilihat melalui media sosial.

Isu air Selangor yang berlaku ketika ini adalah kerana kesilapan kerajaan negeri Selangor di bawah BN suatu ketika dahulu. Ia berpunca daripada nafsu tamak pimpinan Umno ketika itu yang menswastakan sumber air milik rakyat kepada kroni.

Bukankah Noh Omar (gambar) menjadi sebahagian daripada pimpinan BN Selangor ketika itu? Mengapa baru sekarang mahu berbahas isu air Selangor?

Kenapa Noh Omar tidak berbahas ketika ia hendak diswastakan suatu ketika dahulu? Mengapa diam? Atau mungkinkah ada sedikit saham untuk Noh Omar dalam penswastaan air di Selangor?

Noh Omar jangan hanya melihat kuman di seberang laut, tetapi gajah didepan mata seolah-olah tidak kelihatan.

Isu 1MDB jelas jauh lebih memudaratkan kehidupan rakyat dengan hutang berbilion ringgit untuk beberapa generasi sedangkan ketiadaan air untuk beberapa hari di Selangor sengaja digembar gemburkan melalui media massa pro BN. Ini semua agenda ‘setting’ BN menjelang PRU14.

Kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan (HARAPAN) sedaya upaya berusaha menyelesaikan isu air di Selangor. Hasilnya, kini margin simpanan air Selangor berada pada paras lebih baik antara tiga hingga lima peratus dan dijangka meningkat kepada 11 peratus pada hujung tahun depan.

Kerajaan persekutuan pula tidak banyak membantu, malah memburukkan lagi keadaan dengan menyebar berita palsu mengenai isu air Selangor.

Saya cabar Noh Omar, jika benar beliau jujur mahu membantu rakyat Selangor, gunakan peranan beliau untuk dua perkara; pertama memujuk KeTTHA untuk berkongsi hasil dapatan penilai bebas berhubung pengambilalihan SPLASH dengan kerajaan negeri supaya proses pengambilan ini dapat dimuktamadkan segera, bukannya mensabotaj dan menganiaya rakyat Selangor.

Kedua, jika ikhlas mahu membantu rakyat Selangor, Noh Omar juga perlu berani memujuk pihak berkaitan membenarkan isu 1MDB dibincangkan di Parlimen.

Barulah adil untuk Azmin Ali mempertimbangkan cabaran beliau.

 


SHUHAMI HAJI SHAFIEI ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor dan juga ADUN Sri Muda.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen